Polis menahan 25 lelaki dalam serbuan ke atas dua pusat urut dan spa yang dipercayai sarang kegiatan gay di ibu kota Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Kamal Pasha Jamal berkata, dalam serbuan pertama yang dilakukan ke atas sebuah pusat urut di Jalan Utara, Off Jalan Imbi, pada jam 6 petang, polis telah menahan tujuh lelaki.

"Mereka terdiri daripada enam pekerja pusat tersebut dan seorang pelanggan," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, dua daripada mereka telah ditemui dalam sebuah bilik yang disyaki hendak melakukan perbuatan tidak bermoral.

Hasil pemeriksaan beg yang dirampas daripada salah seorang lelaki itu, polis telah menjumpai tiga kondom, satu botol Listerine, satu tiub Top Gel Play, dua kad perniagaan dan buku catatan perniagaan.

Temui kondom

Menurut laporan Bernama, polis juga telah mengeluarkan saman kepada pemilik premis kerana mempunyai lesen perniagaan tamat tempoh.

Dalam serbuan kedua di sebuah pusat urut dan spa di Tingkat 2-4, Jalan Bukit Bintang pada jam 7.30 petang pada hari sama, pihak polis menahan 18 lelaki yang ditemui dalam keadaan bogel dalam beberapa bilik dan tempat mandi.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati pelanggan yang berkunjung ke pusat itu kerap melakukan perbuatan seks sejenis di mana pihak pengurusan pusat hanya menyediakan tempat.

Hasil pemeriksaan juga mendapati banyak kondom terpakai dijumpai merata tempat di dalam premis tersebut dan pihak polis turut merampas dua kad perniagaan, lima buku catatan perniagaan dan dua kotak kondom yang kosong.