Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu menghargai kepercayaan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membenarkan beliau menerajui semula Kementerian Kerja Raya.

"Saya akan memikul tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan kesungguhan. Saya akan meneruskan tugas dan tanggungjawab saya dengan sebaik mungkin demi kemajuan negara dan bangsa," katanya dalam satu kenyataan mengenai rombakan kabinet yang diumumkan hari ini.

Beliau juga berkata kementerian itu serta jabatan dan agensi di bawahnya akan membuat perubahan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua projek dan program yang dirancang akan dilaksanakan mengikut jadual.

Menurut laporan Bernama, kementerian itu juga bertekad untuk melaksanakan segala dasar serta perancangan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan yang bakal dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen Mac ini, katanya.

"Saya juga ingin menyampaikan rasa penghargaan saya kepada Perdana Menteri kerana mengekalkan semua timbalan menteri dan setiausaha parlimen dari MIC di kementerian masing-masing. Mereka juga akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi," kata Samy Vellu yang juga Presiden MIC.