Akhbar Guangming digantung selama dua minggu
Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan permit penerbitan Guangming Ribao Sdn Bhd yang menerbitkan " Guangming Daily Edisi Petang" digantung selama dua minggu berkuatkuasa 16 Februari hingga 1 Mac.
Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan permit penerbitan Guangming Ribao Sdn Bhd yang menerbitkan " Guangming Daily Edisi Petang" digantung selama dua minggu berkuatkuasa 16 Februari hingga 1 Mac.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Keselamatan Dalam Negeri, tindakan itu dibuat di bawah subseksyen 6(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
"Keputusan ini dibuat berikutan tindakan akhbar Guangming Daily Edisi Petang bertarikh 3 Februari lalu, menyiarkan suatu artikel dalam bahasa Cina bertajuk - 'Media Eropah Siarkan Semula Karikatur Meningkatkan Kontroversi', 'Akhbar Denmark Hina Agama Islam, Mohon Maaf' yang juga memuatkan karikatur Nabi Muhammad SAW.
"Ekoran penyiaran artikel ini, Guangming Ribao Sdn Bhd telah melakukan kesalahan dan melanggar perenggan 6 syarat-syarat permit yang dikeluarkan di bawah subseksyen 6(1) akta berkenaan," kata kenyataan itu.
Abdullah juga telah mengeluarkan suatu perintah di bawah subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang dinamakan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tak Diingini)(No.2) 2006, berkuatkuasa esok.
Perintah itu bagi melarang secara mutlak di seluruh Malaysia, percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang berkaitan isu karikatur, dan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, atau yang selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara.
Sementara itu, Jurucakap Sin Chew Media Corporation, memberitahu malaysiakini akhbar tersebut menerima surat penggantungan penerbitannya daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) petang ini.
Sin Chew Media Corporation menerbitkan akhbar Guangming Daily dan Sin Chew Daily . Syarikat berkenaan adalah milik jutawan balak Sarawak, Tiong Hiew King.
Edisi petang terjejas
Penggantungan tersebut akan hanya menjejaskan Guangming edisi petang, yang menerbitkan karikatur tersebut pada 3 Februari yang menunjukkan seorang pembaca sedang menatap akhbar asing yang menyiarkan karikatur tersebut.
Bagaimanapun, apabila menyedari kesilapan tersebut, akhbar berkenaan telah menarik balik hampir kesemua nashkah edisi petangnya daripada pasaran. Dipercayai hanya sejumlah kecil kira-kira beberapa ratus nashkah sahaja yang telah terjual kepada orang ramai.
Bagaimanapun, ia tidak dapat menghalang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri daripada mengambil tindakan penggantungan tersebut.
Para editor kanan akhbar berkenaan telah dipanggil menemui pegawai kementerian berkenaan semalam, selepas diberi surat tunjuk sebab, Jumaat lalu.
Guangming merupakan akhbar kedua yang dikenakan tindakan oleh kerajaan selepas menyiarkan karikatur berkenaan.
Minggu lalu, akhbar Sarawak Tribune telah digantung penerbitannya untuk tempoh yang tidak ditetapkan, juga selepas menyiarkan karikatur berkenaan yang diharamkan di Malaysia.
Karikatur tersebut telah disiarkan oleh sebuah akhbar Denmark September lalu dan mencetuskan kemarahan dan bantahan umat Islam di seluruh dunia.
Di tempat ketiga
Guangming mempunyai dua edisi edisi utara dan edisi tengah. Edisi utaranya yang memuatkan berita dari utara Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, dikendallikanoleh kakitangan editorialnya yang berpejabat di Pulau Pinang.
Manakala operasi pengeluaran edisi tengah pula yang diedarkan di Lembah Kelang dan wilayah selatan, dikendalikan oleh kakitangan editorialnya yang berpejabat di Kuala Lumpur.
Guangming merupakan akhbar ketiga tertinggi pengedarannya di kalangan lima akhbar utama berbahasa Cina. Sin Chew merupakan akhbar berbahasa Cina yang tertinggi pengedarannya.
Di tempat ketiga ialah China Press , yang memecatkan dua editor kanannya bulan lalu berhubung skandal wanita bogel ketuk ketampi dalam tahanan polis, dan hampir digantung penerbitannya oleh KKDN.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.