Tengku Putera tidak pasti digugurkan dalam rombakan
Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata beliau belum dapat memastikan sama ada benar beliau telah digugurkan daripada jawatan Timbalan Menteri Kewangan atau sebaliknya.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata beliau belum dapat memastikan sama ada benar beliau telah digugurkan daripada jawatan Timbalan Menteri Kewangan atau sebaliknya.
Menurut Tengku Putera, ini kerana beliau difahamkan satu lagi jawatan Timbalan Menteri Kewangan Ketiga akan diwujudkan di kementerian itu.
"Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada nama saya terlekat jika jawatan Timbalan Menteri Kewangan Ketiga itu benar-benar diwujudkan kelak. Jika saya benar-benar digugurkan, saya tetap akur dengan keputusan dan kebijaksanaan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi)," katanya.
Menurut laporan Bernama, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata keputusan rasmi berhubung kedudukannya dalam kerajaan mungkin diketahui pagi esok.
Menurut Tengku Putera, beliau tidak akan kecewa malah, akan bekerja lebih gigih lagi untuk parti dan rakyat sekiranya tidak lagi berada dalam kerajaan.
"Saya tidak merasa kecewa atau sedih dan akan tetap memberi komitmen dan setia kepada UMNO serta pucuk pimpinan. Lepas ini setelah tidak lagi berada dalam kerajaan, saya akan dapat memberi tumpuan lebih kepada rakyat di Hulu Terengganu," tambahnya.
Dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri hari ini, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Dr Awang Adek Hussin dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan yang baru.

