Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris hari ini mengarahkan penurunan papan tanda di tugu askar Jepun yang menyifatkan askar negara itu yang terlibat dalam penjajahan Malaya sebagai "wira".

Mengakui kesilapan itu, Asmirul berkata beliau mahu perkara itu diperbetulkan secara segera.

"Saya mengarahkan dan saya sendiri yang buang (papan tanda) untuk memperbetulkan perkara itu secepat mungkin supaya tidak menjadi isu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Asmirul berkata perkataan "wira" di papan tanda itu akan ditukar kepada "askar".

Katanya lagi, mesej antiperang juga akan diletakkan di tugu yang terletak di Alor Setar itu.

"Ia akan menjadi pengajaran kepada generasi muda bahawa kita tidak mahu perang serta sentimen perkauman yang membawa kepada peperangan," katanya lagi.

Isu itu tercetus apabila bahan promosi bagi majlis perasmian memorial Jambatan Sultan Abdul Halim yang dipulihkan, dikritik ramai pihak.

Majlis tersebut anjuran Pejabat Konsulat Jepun dari Pulau Pinang dan Persatuan Sejarah Malaysia (Cawangan Kedah) serta Muzium Negeri Kedah.

Pengkritik berhujah penjajah Jepun tidak patut diagung-agungkan sebagai wira.

Dalam pada itu, Asmirul berkata tugu itu sudah wujud ketika pentadbiran BN dan Pejabat Konsulat Jepun menawarkan untuk melakukan proses pemulihan kerana ia berada dalam keadaan tidak terjaga.

"Ia hanya dicantikkan sebab daripada (terbiar) kotor dan semak, konsulat Jepun mahu biaya untuk mencantikkannya," katanya lagi.

Menurut papan tanda tiga bahasa bersebelahan dengan tapak tersebut, tugu peringatan ini bagi mengenang tindakan Komandan Platun Leftenan Hajima Asahi dan dua askar Jepun lain.

Ketiga-tiga mereka terkorban ketika cuba untuk mendapatkan apa yang dikenali pada 13 Disember 1941 sebagai jambatan Alor Setar ketika peringkat awal penaklukan kuasa penjajah Jepun di Tanah Melayu dan Borneo.

Lihat Komen
ADS