Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata keputusan pemilihan peringkat parti bukan menjadi formula untuk beliau menentukan barisan menteri kabinet.

"Kita tak gunakan formula-formula berkaitan dengan pemilihan parti ataupun pemilihan-pemilihan yang ada asas lain.

"Kita tekankan fakta pengalaman sebagai fakta yang penting kerana nanti ahli kabinet perlu bergerak semula apabila Rancangan Malaysia Ke-9 diluluskan di Parlimen.

"Mereka kena bergerak pantas, tidak ada masa untuk belajarlah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan syiling peringatan bermotifkan songket malam tadi.

Dalam rombakan kabinet semalam, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh yang kalah dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno lallu, telah digugurkan manakala Menteri Penerangan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir meletak jawatan.

Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid yang juga tewas pada pemilihan Umno itu, dikekalkan tetapi bertukar portfolio sebagai Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata, rombakan kabinet juga dilakukan bukan kerana tekanan mana-mana pihak atau sebagai persediaan menghadapi pilihan raya Sarawak.

Ditanya mengenai mesyuarat kabinet hari ini, beliau berkata, ia akan berjalan seperti biasa melibatkan menteri kabinet yang dikekalkan serta mereka yang bertukar portfolio.

Bagi menteri yang baru dilantik, Abdullah berkata beliau sedang menunggu tarikh yang sesuai daripada Istana Negara bagi upacara mengangkat sumpah jawatan sebelum mereka boleh menjalankan tugas masing-masing.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi yang baru dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri perlu juga mengangkat sumpah sebagai senator sebelum memulakan tugas beliau.