Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN | Ada yang menyebutnya sebagai industri kreatif, ada yang menyebut industri kebudayaan, dan ada juga yang medefinisikannya sebagai ekonomi oren (orange economy). Semua ini merujuk kepada pengkelasan industri yang membentuk ekonomi kreatif.

Apabila melihat sebarang kegiatan rakyat yang dapat menjana pendapatan atau keuntungan, kerajaan biasanya akan mengkelaskannya mengikut segmen yang difikirkan sesuai menerusi aspek ekonomi.

Mengapa pengkelasan dibuat? Pastinya untuk memahaminya agar dasar dapat dirangka. Dasar itu akan menjadi pelan tindakan sebagai panduan kepada kerajan dalam menyediakan peruntukan dan pelan pembangunan terhadap industri dan masyarakat.

Pelaksanaan dasar-dasar ini diharap dapat merancakkan kegiatan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan yang akhirnya akan memperbaiki mutu kehidupan masyarakat dan memberi kebahagiaan kepada mereka.

Daripada semua ini, antara yang paling utama ialah peluang untuk kerajaan mengenakan cukai - atau membuat pengecualian - daripada kegiatan tersebut. Cukai akan menjadi minyak pelincir untuk kerajaan.

Menanggapi ekonomi kreatif

Berbalik kepada ekonomi kreatif. Di peringkat rangsangan, kerajaan perlu memberi pelepasan cukai sebagai insentif kepada pelabur, individu atau syarikat yang menjalankan ekonomi kreatif. Sekurang-kurangnya sehingga suatu tempoh sebelum cukai dikenakan.

Barangkali ini model yang dianggap adil dan boleh diterima pakai semua pihak.

Misalnya kaedah kerajaan Britain dalam menanggapi ekonomi kreatif. Di peringkat rangsangan, insentif cukai telah membantu pertumbuhan ekonomi negara itu. Perkara ini ditunjukkan laporan kajian British Film Institute (BFI) untuk 2016.

Pada 2016, dianggarkan 632 juta pound pelepasan cukai telah diberikan kepada penggiat dalam bidang itu, yang akhirnya menghasilkan 3.16 bilion pound pengeluaran langsung. Angka itu merupakan peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding sebelumnya.

Itu untuk pihak yang menerima pelepasan cukai. Untuk mereka yang sudah melepasi tahap rangsangan, sekitar 2 bilion pound cukai berjaya dikutip untuk tahun yang sama.

Apa Perspektif Kita?

Seperti yang saya katakan, kerajaan pada akhirnya mahu melihat ekonomi rakyat stabil, inflasi terkawal dan kerajaan selesa dapat mengutip cukai daripada kebahagiaan rakyat itu.

Namun mengutip cukai dari kegembiraan dan kebahagiaan rakyat ini tidak mudah, apatah lagi sebagai sebuah kerajaan baru dan dengan rakyat yang semakin peka mutakhir ini. Ia menjadikan hasrat ini sangat sukar.

Sebagai warga demokrat, kita sebolehnya mahu memahami dan menyediakan ruang seluas-luasnya untuk individu dan masyarakat hatta kerajaan bergiat dengan aktif dan secara adil dalam ekonomi kreatif.

Namun - sekali lagi - apakah itu ekonomi kreatif bagi kita?

Kita boleh saja merujuk mana-mana takrifan dan definisi untuk istilah 'ekonomi kreatif' ini. Namun akhirnya, bergantung kepada kita sebagai warga dan negara untuk melihatnya dari perspektif sendiri.

Adakah kita perlu merujuk kepada perspektif di Britain, Amerika Syarikat atau negara-negara Asia lain yang telah meneroka bidang ini? Terpulang.

Ambil industri perfileman, serta produknya iaitu filem, sebagai contoh.

Jika melihat daripada pengalaman sendiri, selama ini kita (dan kerajaan) melihat filem dari perspektif seni dan hiburan, maka dasar dan cukai akan menjurus kepada medium-medium produk dan perkhidmatan hiburan.

Tetapi selepas suatu peringkat,  filem tidak lagi dilihat daripada perspektif hiburan semata-mata kerana kita telah menerima bahawa cukai ke atas barang dan perkhidmatan seni dan hiburan ini tidak mapan (sustainable) tanpa disokong oleh satu ekosistem.

Maka kita melihat kepada aspek pendidikan. Maka muncullah sekolah seni dan filem untuk melahirkan lebih ramai pembuat produk hiburan (filem) agar ekosistem menjadi lebih mapan dan cukai dapat terus dikutip.

Namun usaha ini dirasakan masih tidak memadai. Justeru kerajaan menambah baik fungsi Finas dan menubuhkan pelbagai agensi lagi untuk menanggapi kehendak dan keperluan dalam bidang perfileman.

Langkah lama yang silap

Kini itu pun dilihat seperti tidak memadai lagi. Perlu ada satu perspektif baru untuk memaknai apa itu "filem Malaysia". Ada ruang yang boleh diterokai dan dicapai - yang lebih penting daripada mengutip cukai.

Mengambil pengajaran daripada perkara ini, ekonomi kreatif perlulah dilihat melalui perspektif yang lebih cermat.

Terbukti bahawa pendekatan kerajaan yang mengharapkan cukai daripada setiap perkara tidak memberi kebahagian kepada rakyat. Ekonomi kita tidak akan aman.

Jika ekonomi kreatif hanya dilihat daripada sudut kutipan cukai kepada mereka yang bergiat di dalamnya, kita akan mengulang langkah silap yang sama seperti dalam perfileman.

Saya harap dapat memanjangkan perkara ini kepada kerajaan Pakatan Harapan agar kesilapan itu tidak berulang.


MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis yang berpolitik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS