Kerajaan prihatin untuk tingkatkan keupayaan polis
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi komitmen bahawa kerajaan akan tetap menyalurkan segala peruntukan diperlukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun ia melibatkan kos tambahan.
Katanya, ini bagi memastikan pasukan benteng keselamatan negara itu mempunyai kelengkapan yang sesuai dan terkini.
"Kerajaan prihatin terhadap keperluan pasukan polis untuk meningkatkan keupayaannya terutama pada masa kini di mana beban tugas yang semakin mencabar.
“Sesungguhpun, ia melibatkan kos tambahan kerajaan akan tetap menyalurkan peruntukan yang diperlukan,” katanya dalam amanatnya pada majlis sambutan Peringatan Hari Polis ke-212 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri (KDN) Muhyiddin Yassin, Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Setiauasaha Negara Dr Ismail Bakar dan Ketua Polis Negara Mohammad Fuzi Harun.
Menurutnya, berdasarkan perkembangan dan cabaran semasa, PDRM bukan sahaja berhadapan dengan cabaran dalam konteks jenayah konvensional, ancaman pengganas atau terrorist adakalanya amat luar biasa dan ini tentunya menuntut agensi keselamatan terutama PDRM untuk menanganinya secara tegas, strategik dan berkesan.
Katanya bahawa kerajaan sedar tugas dalam bidang kepolisan ini bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi apabila berhadapan dengan situasi dan cabaran keselamatan negara yang semakin kompleks.
"Dalam konteks ini, pihak kerajaan berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan keupayaan yang diperlihatkan oleh anggota keselamatan seperti PDRM dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Ini termasuklah dalam menangani ancaman militan Daesh di negara," katanya.
Mahathir turut menjelaskan bahawa beliau difahamkan sehingga kini, seramai 464 orang ahli kumpulan pengganas Daesh telah ditangkap oleh pihak polis.
"Ini dapat dicapai kerana PDRM dan anggota keselamatan yang lain memiliki pasukan risikan yang mampu menangani isu yang kompleks membabitkan kumpulan militan ini."

Sementara itu, Mahathir juga menghargai pengorbanan pihak polis demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
"Syabas juga saya ucapkan kepada seluruh warga PDRM kerana mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penurunan indeks jenayah Negara.
“Indeks jenayah bagi tahun 2018 telah merekodkan sebanyak 88,662 kes berbanding dengan nilai ambang atau threshold sasaran sebanyak 100,611 kes. Ia penurunan sebanyak 11.9 peratus," katanya.
Terdahulu, majlis bermula 8.30 pagi tadi dengan ketibaan dan pemeriksaan kawalan kehormat 15 detachment perbarisan dan aset aset PDRM.

