Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini mengecam dan amat kecewa dengan laporan sekumpulan pelajar Universiti Malaya (UM) yang menzahirkan pandangan mereka secara aman dikasari dalam satu insiden berhampiran UM, Jumaat lalu.
Naib Canselor UiTM Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata UiTM menolak sebarang usaha untuk menyekat kebebasan terutamanya secara kekerasan.
"UiTM dengan tegas tidak bersetuju dan tidak akan menyokong penggunaan kekerasan sebagai jalan penyelesaian.
"Kami berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya melalui proses undang-undang supaya insiden seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan.
Kejadian itu berlaku pada petang Jumaat lepas di hadapan sebuah restoran berhampiran UM di mana bekas perdana menteri Najib Razak sedang berdialog dengan pelajar.
Mohd Azraai berkata UiTM yakin bahawa aspirasi pendidikan tinggi ke arah melahirkan golongan intelek yang lebih matang dan terbuka, berani menyatakan buah fikiran serta memperjuangkan keadilan dan mempertahankan hak mereka akan dapat dicapai.
- Bernama
