Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang diminta mengemukakan bukti susulan dakwaan beliau bahawa Amanah ditubuhkan semata-mata untuk menjadi alat DAP.

Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa ada pemimpin PH menyatakan DAP penyebab Amanah ditubuhkan perlulah disahkan serta dibuktikan dengan menyebut nama pemimpin tersebut.

"Islam menegah kita menimbulkan syak wasangka sesama sendiri. Tanpa bukti dan fakta ini akan menimbulkan fitnah. Beliau perlu memberi nama orang tersebut dan bukan menanam kekeliruan yang menjurus ke fitnah.

"Saya berpendapat daripada PAS menuduh tanpa bukti yang kukuh tentang Amanah, lebih baik PAS menjelaskan kepada ahli dan penyokongnya apa yang mengelirukan mereka," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa Amanah diwujudkan semata-mata untuk menjadi alat kepada strategi DAP yang mahu menyekat pengaruh dan peluang PAS dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Anggota parlimen Marang itu berkata, DAP tidak pernah berhenti berusaha mencari jalan mengekang pengaruh PAS kerana agenda parti itu adalah untuk menyekat kemaraan Islam di negara ini.

Sementara itu, Raja Bahrin berkata, jika tuduhan itu benar, calon Amanah hanya akan tertumpu bertanding di negeri-negeri tradisi PAS seperti Terengganu, Kelantan serta Kedah dan bukan bertanding di Selangor, Johor, Melaka dan Perak.

"Apatah lagi memandangkan kami parti baru. Ini menunjukkan Amanah mempunyai agenda yang lebih luas di seluruh Malaysia dan walaupun hanya berusia tiga tahun dan Amanah berjaya memenangi 11 kerusi Parlimen dalam PRU ke-14 pertamanya.

"Sebenarnya antara sebab utama Amanah ditubuhkan ialah kerana tidak bersetuju kerajaan campuran (UG) di antara PAS dan Umno, dan sikap esklusif parti yang menjadi lebih jelas dengan tindak-tanduk PAS bersekongkol dengan Umno hari ini.

"Konsep ini juga ditentang keras oleh bekas mursyidul Am PAS Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat. Setelah beliau menyatakan penentangan terhadap konsep UG.

"Malah, pengerak utama UG iatu Nasharuddin Mat Isa dikalahkan oleh Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden PAS semasa itu. Ini adalah sejarah dan realiti apa yang telah berlaku," jelasnya.

Beliau yang kini timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan turut berkata, realiti yang makin menjadi nyata adalah PAS makin hampir mendirikan UG dengan Umno yang didedahkan sendiri oleh Pemangku Presiden Umno, Mohamad Hasan.

"Di antara sebab utama Amanah ditubuhkan adalah kerana tidak setuju hubungan PAS dan Umno, dan bukan kerana DAP.

"Logiknya, jika benar Amanah diwujudkan untuk menjadi alat kepada DAP, lebih baik para pemimpin yang menubuhkan Amanah dulu menyertai DAP daripada bersusah payah menubuhkan parti baru yang memakan masa, tenaga dan pelbagai pengorbanan yang bukan sedikit," katanya.

Justeru kata Raja Bahrin, PAS sebaliknya perlu memberi tumpuan untuk menjelaskan kepada ahlinya berkaitan kerajaan campuran antara parti tu dan Umno.

"PAS juga perlu jelaskan penerimaan wang daripada Umno yang disahkan oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang dulu dinafikan.

"Dan sebab sebenarnya tindakan mahkamah ke atas Sarawak Report ditarik balik walaupun dahulu katanya isu maruah parti perlu dipertahankan dan siapakah sebenarnya membayar kos guaman RM1.4 juta kepada Sarawak Report?" soalnya.

Tegas beliau, itulah perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan dan tanggungjawab PAS kepada ahli-ahlinya yang setia.

"Di pihak saya, hanya menjawab apa yang ditanya wartawan susulan tuduhan PAS terhadap Amanah dan isu sebenarnya di sebalik tuduhan.

"Saya hanya mempertahankan Amanah dan bukan berhasrat menyerang sesiapa," jelasnya.

Lihat Komen
ADS