Keluarga Tun Ghafar Baba merancang untuk mengadakan majlis sambutan hari jadi ke-81 bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang jatuh pada hari Sabtu ini, di Pusat Perubatan Intan Gleneagles di Kuala Lumpur.

Anak sulung beliau, Tamrin ketika dihubungi Bernama berkata, majlis itu adalah di atas permintaan ayahnya.

"Perkara ini diberitahu semasa beliau sedar. Keadaannya sekarang adakalanya dia sedar dan adakalanya tidak. Dia ingat tarikh harijadinya, dan minta kami ajak kawan-kawannya untuk datang pada hari itu," katanya.

Tamrin berkata rancangan itu juga tidak dibantah oleh pakar-pakar perubatan yang kini memantau perkembangan Ghafar.

Menteri MCA

"Kita akan adakan majlis itu di sisi katil beliau, di Unit Rawatan Rapi pada 10.30 pagi," katanya dan menambah pihak media juga dijemput untuk membuat liputan.

Ditanya mengenai para jemputan, Tamrin berkata selain anggota keluarga, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga sudah dimaklumkan tentang majlis itu.

"Selalunya pada setiap harijadi beliau, menteri-menteri MCA tidak pernah tak hadir, jadi kita jangka mereka pun tidak akan ketinggalan meraikannya kali ini," katanya.

Ghafar dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak pertengahan Januari lalu selepas diserang penyakit asma.

Beliau sebelum ini pernah dirawat di Pusat Perubatan Pantai kerana penyakit yang sama sebelum dibenarkan pulang pada Disember lalu.