Tiga penasihat pengarang NST dipecat
Wartawan veteran Tan Sri Samad Ismail dan dua lagi penasihat jabatan pengarang kumpulan akhbar New Straits Times telah diberhentikan perkhidmatan mereka semalam.
Samad, yang dilantik sebagai penasihat jabatan pengarang kira-kira setahun lalu, diberhentikan bersama Datuk Mazlan Nordin, and perunding jabatan pengarang, Zainon Ahmad.
Mereka menerima surat perhentian itu, yang ditandatangani oleh pengarah urusan NSTP, Faiz Ishak, pagi semalam.
Tindakan mengejut itu diambil oleh pihak NSTP tidak lama selepas Datuk Abdullah Ahmad dilantik sebagai ketua pengarang kumpulan NSTP.
Abdullah merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Jawatan ketua pengarang kumpulan NSTP sebelum ini disandang oleh Datuk Abdul Kadir Jasin, yang kemdiannya melepaskan jawatan itu selepas membeli syarikat penerbitan majalah, Berita Publishing.
Tanpa sebab
Samad, yang lebih popular dengan panggilan Pak Samad, ketika dihubungi berkata beliau diberitahu sebelum ini yang kontraknya dengan NSTP telah disambung oleh Datuk Seri Abdul Rahman Maidin, sebelum dia meletakkan jawatan sebagai naib president eksekutif NSTP, minggu lalu.
"Pihak pengurusan tidak menyebut sebab perkhidmatan saya ditamatkan," kata Pak Samad.
Perkembangan terbaru ini dianggap sebagai antara usaha Abdullah untuk mengukuhkan kedudukannya di samping melakukan rombakan bagi meningkatkan prestasi NSTP yang tidak memberangsangkan sekarang.
Pada masa ini, Datuk Ahmad Talib masih memegang jawatan NST manakala Datuk Rejal Arbee masih kekal sebagai pengarang kumpulan Berita Harian .

