Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Setiausaha Agung PKR akan jumpa, minta penjelasan Nurul Izzah
Diterbitkan:  Mar 25, 2019 6:37 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail akan berjumpa dengan Nurul Izzah Anwar bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan ahli parlimen Permatang Pauh itu yang disiarkan kepada sebuah akhbar Singapura baru-baru ini.

Saifuddin berkata, beliau masih belum berkesempatan berjumpa dengan bekas naib presiden PKR itu berikutan kesibukan tugasnya sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

“Saya memilih untuk bercakap sendiri dengannya dahulu, apa sebenarnya cerita di sebalik itu dan kemudiannya barulah lebih berlaku adil untuk saya memberi sebarang komen,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Citarasa Malaysia - Hari Bersama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Putrajaya hari ini.

Nurul Izzah dalam wawancaranya dengan The Straits Times, Singapura meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan Pakatan harapan (PH) yang didakwa gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi seperti sepatutnya.

“Perlu bekerja dengan bekas diktator yang telah menyebabkan pelbagai kerosakan, bukan sahaja dalam hidup (keluarga) kami bahkan kepada sistem (pemerintahan negara), ia bukan mudah.

“Saya betul-betul mahu (usaha) mengangkat agenda reformasi menjadi fokus utama kami,” kata anak sulung Presiden PKR Anwar Ibrahim itu dalam wawancara tersebut.

Beliau juga menggambarkan perkembangan politik dalam tempoh setahun lalu sebagai ‘sangat mencabar dan huru-hara’ serta meluahkan kekecewaan dengan kemasukan bekas wakil rakyat Umno dalam PH.

Portal itu turut memetik kenyataan Saifuddin yang berkata itu adalah cara Nurul Izzah menzahirkan sesuatu ketika ditanya mengenai kekecewaannya berhubung jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ronald Kiandee.

“Saya kenal Nurul Izzah... dia ada pendirian tertentu terhadap sesuatu perkara dan biasanya dia memilih untuk menzahirkannya secara terbuka.

“Dia sudah tentu mempunyai sudut pandang tertentu bahawa PAC itu harus dipegang seseorang mewakili pembangkang.

“Saya menghormati pendirian beliau dan perdana menteri juga sudah memberikan komen dan apabila sampai masanya Perdana Menteri kata, ada calon sesuai perkara itu akan berlaku,” katanya.

Berita Harian juga memetik Saifuddin sebagai menafikan kesahihan satu kenyataan viral hari ini kononnya dikeluarkan oleh PH berhubung kenyataan Nurul Izzah dan menyifatkannya sebagai berita palsu yang bertujuan untuk mewujudkan ketegangan hubungan parti komponen dalam gabungan PH.

“Saya sudah pun menghubungi setiausaha-setiausaha parti lain dalam PH berhubung perkara berkenaan dan diberitahu tiada kenyataan sedemikian dikeluarkan.

“Yang viral kononnya ada empat setiausaha parti dalam PH mengeluarkan kenyataan sebagai respon kepada Nurul Izzah adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Lihat Komen
ADS