Isu warganegara: Pendirian KDN bercanggah perlembagaan, kata LFL
Lawyers for Liberty (LFL) berkata seorang kanak-kanak yang mempunyai ibu atau bapa rakyat Malaysia seharusnya secara automatik mendapat status warganegara tanpa perlu mengampil kira status perkahwinan ibu bapanya.
Dalam kenyataan media hari ini, penasihat LFL N Surendran merujuk kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman di Dewan Rakyat semalam yang berkata kewarganegaraan automatik hanya diberikan kepada anak yang ibunya merupakan warganegara.
"Pendekatan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung masalah kanak-kanak tanpa kewarganegaraan ini tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Pendekatan itu sama dengan yang digunakan rejim BN sebelum ini, yang menyebabkan ramai kanak-kanak tidak mempunyai kerakyatan dalam Malaysia.
"Status perkahwinan ibu bapa tidak relevan dalam Perlembagaan Persekutuan, Jadual Bahagian 2 seksyen 1(a) perlembagaan menyatakan, selagi salah seorang ibu atau bapa kanak-kanak itu warganegara, dia secara automatik adalah rakyat Malaysia," katanya.
Semalam, Azis turut mengingatkan bahawa tanggungjawab memastikan pengenalan diri kanak-kanak adalah tanggungjawab ibu-bapa sepenuhnya.
Ahli Parlimen Warisan itu juga mengingatkan bahawa perkahwinan tidak berdaftar turut merupakan punca masalah kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.
"Masalah yang berlaku ini, banyak perkahwinan yang sebenarnya tidak didaftarkan. Apabila tidak didaftarkan, anak yang dilahirkan yang akan menanggung masalahnya.
"Sebab itu saya menyeru kepada rakyat Malaysia, berani kahwin, berani daftar, berani tanggung," kata Azis.
Mengulas lanjut, SUrendran dalam kenyataan media sama berkata, kenyataan Azis semalam sebagai kenyataan yang salah.
"Kenapa KDN boleh salah terjemah perlembagaan menjadi prejudis dan menjejaskan kanak-kanak sehingga menyebabkan mereka tidak mempunyai kewarganegaraan?
"Mengambil pendekatan yang dicadangkan KDN akan menghukum kanak-kanak yang tidak bersalah hanya kerana merupakan 'tidak halal di sisi undang-undang', yang mana tidak adil dan kejam.
"Timbalan menteri KDN juga dakwa kanak-kanak dari perkahwinan yang tidak didaftarkan yang ibunya bukan warganegara boleh memohon kewarganegaraan di bawah Artikel 15A. Tapi Artikel 15A tidak ada guna untuk kanak-kanak tanpa kewarganegaraan kerana ia hanya bergantung kepada budi bicara menteri dalam negeri.
"Sudah menjadi masalah biasa apabila permohonan di bawah Artikel 15A mengambil masa bertahun untuk diproses dan selalunya ditolak, sementara kanak-kanak tanpa warganegara terus terumbang-ambing," katanya.
Surendran juga menyifatkan kenyataan Azis di Dewan Rakyat semalam sebagai jawapan piawai yang sering diberikan rejim BN untuk menafikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang terdesak.
"Pendirian yang diambil KDN bukan saja bertentagan dengan undang-undang dal perlembagaan, tapi juga manifesto PH yang mengiktiraf masalah kanak-kanak tanpa warganegara di Malaysia.
"Kami menggesa kerajaan untuk mengubah pendirian dan memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang lahir di Malaysia, yang salah seorang ibu atau bapanya merupakan warganegara, tanpa mengambil kira sama ada ibu bapanya mendaftar perkahwinan atau tidak," tegas Surendran.

