Peguam Negara telah mengadakan tiga rundingan dengan pelbagai pihak dalam usaha mengkaji semula pindaan Rang Undan-Undang Keluarga Islam 2005 bagi memastikan ianya selari dengan komitmen kerajaan terhadap prinsip keadilan dan kesamarataan gender.

Antara pihak yang terbabit dalam tiga rundingan tersebut ialah Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG).

"Kami berbesar hati ulasan kami, yang dibuat berdasarkan hasil kajian mendalam yang dilakukan oleh pelbagai pakar undang-undang Islam di seluruh dunia, telah diambilkira dan dipertimbang oleh kerajaan," kata Pengarah Eksekutif Women's Development Collective, Maria Chin Abdullah, bagi pihak JAG.

JAG turut dianggotai oleh Sisters in Islam (SIS), Bahagian Wanita MTUC, All Women's Action Society (Awam), Women's Aid Organisation (WAO) an Women's Centre for Change Penang (WCC).

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, JAG mengalu-alukan sikap kerajaan, terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Kabinet yang begitu peka dan prihatin terhadap suara rakyat, terutama wanita, dalam isu pindaan rang undang-undang tersebut.

"Kami menyambut baik kenyataan Perdana Menteri tentang perlunya sistem Syariah dikaji semula bagi memastikan ianya selari dengan komitmen kerajaan terhadap prinsip keadilan dan kesamarataan gender," katanya.

Kajian menyeluruh

Menurutnya, setelah meneliti reaksi pelbagai masyarakat, khususnya pandangan dari JAG, Kabinet telah membuat keputusan untuk tidak mewartakan Undang-Undang Keluarga Islam sehingga kajian menyeluruh dilakukan.

Berikutan itu, katanya, JAG menyambut baik inisiatif Peguam Negara yang seterusnya menjalankan proses rundingan dengan pelbagai pihak, termasuk JAG dalam usaha mengkaji pindaan rang undang-undang tersebut.

"Setakat ini, sebanyak tiga rundingan telah dilakukan dan input dari pihak kami telahpun diperbincang dan dipertimbangkan.

"Proses rundingan yang dipengerusikan oleh Peguam Negara ini mencerminkan suatu proses yang telus dan terbuka, sejajar dengan prinsip demokrasi.

"Pada masa ini, kami sedang menumpukan perhatian terhadap proses rundingan yang masih berjalan setakat ini," katanya.

Beliau berkata, JAG berharap Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2005 yang akan dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada 13 Mac depan, akan menerapkan segala prinsip keadilan dan kesamarataan gender sejajar dengan komitmen kerajaan.