Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyifatkan dirinya sebagai "orang parti dan patuh kepada kehendaki parti" dan sedia menerima apa sahaja jawatan yang ditawarkan oleh pucuk pimpinan parti dan kerajaan.

"Kalau betul saya dilantik sebagai Senator, saya akan menerima dan menjalankan tanggungjawab tersebut sebaik mungkin.

"Saya orang parti, saya kena patuh kepada kehendak parti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Muhd Taib, beliau mendapat tahu mengenai berita perlantikannya sebagai Senator itu dari media hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan beliau dilantik memegang jawatan dalam kerajaan, Timbalan Pengerusi Umno Selangor itu berkata:

"Itu kena tanya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," kata bekas Menteri Besar Selangor itu.

Semalam, ketika mengumumkan rombakan kabinet di Putrajaya, Perdana Menteri berkata Muhammad akan dilantik sebagai Senator.

Muhd Taib menjadi Menteri Besar Selangor dari 1996 hingga 1997 sebelum meletakkan jawatan setelah didapati gagal mengisytiharkan kepada Kastam Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane yang beliau membawa wang A$1.6 juta (RM3.7 juta ketika itu).

Mahkamah Daerah Brisbane bagaimanapun membebaskan beliau.

Beliau terpilih sebagai Naib Presiden Umno dari 1993 hingga 2004. Dalam pemilihan Umno yang lalu, beliau gagal mempertahankan jawatannya itu. Bagaimanapun beliau telah dilantik menjadi ketua penerangan Umno.