Malaysiakini
BERITA

Mereka tak akan berjaya halang ayahmu - Zaid minta Nurul kekal berani

Diterbitkan

Bekas Menteri Undang-Undang Zaid Ibrahim mahu Nurul Izzah Anwar supaya kekal berani menghadapi kritikan susulan kenyataan beliau terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan agenda perubahan di bawah pentadbirannya yang berjalan terlalu perlahan.

Menerusi ciapannya di Twitter, beliau juga berkata bahawa usaha menghalang bapanya, Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri tidak akan berjaya.

"Nurul bergembiralah dan terus kekal berani. Semua usaha mereka menghalang bapa kamu tidak akan berjaya," katanya tanpa menghuraikan apa yang dimaksudkan itu.

Dihubungi kemudiannya, Zaid menegaskan bahawa bukti dalam politik adalah mengikut keadaan dan jarang sekali adalah secara langsung.

"Apabila nombor dua (Azmin Ali) dalam PKR mempunyai kedudukan dan kuasa, dan nombor satu (Anwar) jelas diketepikan, maka, apa kesimpulan yang boleh dibuat?" soalnya.

Semalam, Anwar sekali lagi mengulangi sokongan beliau dan keluarganya kepada pentadbiran Mahathir susulan spekulasi bahawa kenyataan Nurul menunjukkan wujudnya keretakan dalam Pakatan Harapan.

Dalam satu temuramah dengan Straits Times Singapura, Nurul memberitahu bahawa penggal ini akan menjadi yang terakhir baginya sebagai wakil rakyat dan melahirkan kekecewaan dengan kerajaan yang mengheret kaki melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan.

Ketika bercakap mengenai cabaran bekerjasama dengan Mahathir, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menggambarkan beliau sebagai "bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan, bukan saja pada kehidupan keluarga kami, tapi juga sistem (pentadbiran negara)."

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Annuar Musa turut mengulas kritikan terhadap Nurul Izzah.

“Sebuah kerajaan yang kononnya hormati kebebasan bersuara, hari ini mengutuk pemimpin sendiri yang bersuara lantang mengkritik kerajaan! Kea rah mana sebenarnya PH bergerak?” ciapnya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata adalah tidak sesuai melabelkan Mahathir sebagai diktator atau bekas diktator.

“Adalah tidak wajar menggelarkan Tun sebagai diktator atau bekas diktator.Tun menang pilihanraya.

“Tun pernah letak jawatan, Tun banyak mengalah kepada DAP, Tun bebaskan orang yang dipenjara, Tun selamatkan orang yang sedang dibicara... itu bukan sifat diktator,” katanya.

Semalam, Nurul mempertahankan kenyataan beliau dengan berkata dirinya telah banyak kali melabel Mahathir sebagai diktator pada masa lalu.


Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.