PARLIMEN l Seorang ahli parlimen BN hari ini menimbulkan kegusaran mengenai adegan seks dan unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang sering muncul di Netflix, pembekal perkhidmatan media dalam talian popular.
Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangasar) berkata bahan tersebut menyebabkan kegusaran di kalangan rakyat negara ini.
“Ini adalah berkenaan filem-filem di Netflix, adakah mekanisme berbeza digunakan untuk menapis filem-filem di peringkat biasa dan juga di peringkat Netflix.
“Saya lihat berleluasa sekarang ini adegan seks dan juga elemen-elemen LGBT yang mengusarkan rakyat Malaysia,” katanya kepada Dewan Rakyat.
Mastura mengemukakan soalan itu kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang menyampaikan ucapan penggulungannya berhubung titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong.
Gobind berkata, beliau mengambil maklum dan bahawa terdapat Ahli Parlimen lain juga menyuarakan kebimbangan yang sama dan berjanji menjawabnya menerusi jawapan bertulis.
"Boleh saya berikan jawapan secara bertulis kerana ia adalah antara isu yang sama dibangkitkan oleh Bachok.
"Jadi saya akan jawab kepada anda berkenaan tapisan dan sebagainya bagaimana kita nak tanggung masalah ini,” katanya.
