Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kiandee akur keputusan PM: Sedia berundur sebagai pengerusi PAC
Diterbitkan:  Mar 27, 2019 6:08 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

PARLIMEN l Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee berkata beliau akur sekiranya digantikan daripada menjadi  pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) apabila calon baru dikenalpasti dan dilantik.

"Saya akur kepada keputusan menteri, perdana menteri berkata saya akan digantikan apabila pengerusi baru (PAC) telah dapat dikenal pasti, jadi saya akur, saya patuh pada keputusan itu," katanya.

Kiandee berkata tidak timbul isu beliau meletak jawatan kerana beliau hanya menuruti arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Ia tak berbangkit kerana PM kata saya kekal (pengerusi PAC) sehinggalah pengganti baru dilantik," jelasnya.

Kiandee berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan pendengaran PAC hari ini.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu sebelum ini meminta Kiandee kekal menjadi pengerusi PAC tetapi kemudian menukar fikirannya selepas mendapat bantahan daripada wakil rakyat PH.

Hari ini, semua ahli parlimen pembangkang tidak hadir pendengaran PAC selepas wakil BN dan PAS meletak jawatan mereka pada Isnin lalu.

BN, PAS janji tak sertai PAC

Anggota parlimen BN yang melepaskan jawatan dalam PAC ialah MP Parit Sulong Noraini Ahmad dan MP Jasin Ahmad Hamzah, manakala MP PAS pula ialah Takiyuddin Hassan.

Mereka berjanji tidak akan menyertai PAC sehinggalah pengerusi PAC dilantik daripada kalangan MP pembangkang.

Sementara itu, MP pembangkang dari Gabungan Parti Sarawak, Lawson Chaut masih lagi kekal di dalam PAC, namun anggota parlimen Betong itu tidak hadir sesi hari ini kerana berada di luar negara.

Kiandee pada Ogos tahun lalu dilantik sebagai wakil pembangkang untuk menjadi pengerusi PAC.

Bagaimanapun, pada Mac tahun ini Kiandee keluar Umno untuk menyertai Bersatu yang menjadi sebahagian daripada gabungan parti pemerintah.

PH dalam manifestonya berjanji pengerusi PAC akan diperuntukkan kepada MP pembangkang demi kepentingan semak dan imbang.

Lihat Komen
ADS