Bank Negara turunkan unjuran KDNK 2019 kepada 4.8 peratus
Bank Negara telah menurunkan unjuran KDNK 2019 negara kepada antara 4.3 dan 4.8 peratus, turun dari anggaran sebelumnya iaitu 4.9 peratus.
Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata langkah itu selari dengan semakan pertumbuhan yang sama mengenai ekonomi global.
"Pertumbuhan global disemak semula dari 3.7 peratus (kepada 3.5 peratus) dan perdagangan dunia juga disemak semula ke bawah.
"Ini alasan utama mengapa, kami membuat unjuran antara 4.3 peratus hingga 4.8 peratus tahun ini berbanding 4.9 peratus yang dijangkakan," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat bank pusat itu di Kuala Lumpur hari ini.
Kebimbangan deflasi
Sementara itu, agensi berita nasional melaporkan gabenor BNM menyangkal kebimbangan yang semakin meningkat mengenai dakwaan Malaysia mengalami deflasi berikutan penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi tempoh dua bulan lepas yang berturut-turut.
IHP, pengukur inflasi utama, susut 0.4 peratus pada Februari berbanding tempoh yang sama tahun lepas, susulan penurunan tahun ke tahun 0.7 peratus pada Januari.
Nor Shamsiah dipetik Bernama berkata sekiranya merujuk kepada senarai kumpulan utama bagi IHP, lebih separuh masih mencatatkan peningkatan harga.
“Ia tidak menggambarkan penurunan inflasi secara meluas. Apabila bercakap mengenai deflasi, ia merujuk penyusutan harga secara meluas yang menyaksikan keadaan permintaan tidak wujud dan syarikat perlu menurunkan harga untuk menarik permintaan," katanya.
Penurunan IHP yang dialami negara, kata Shamsiah semata-mata berpunca daripada harga bahan api domestik yang lebih rendah.
BNM menjangkakan inflasi teras pada 2019 akan mencatatkan purata antara 0.7 peratus dan 1.7 peratus manakala inflasi asas mungkin kekal dalam keadaan aktiviti ekonomi meningkat kukuh serta ketiadaan tekanan permintaan.
Menjelaskan lanjut, gabenor bank pusat itu berkata inflasi teras akan bergantung kepada dasar yang mungkin diperkenalkan kerajaan bagi tempoh musim perayaan akan datang, yang lazimnya disertakan dengan harga siling ke atas barangan keperluan tertentu, di samping trajektori harga minyak mentah global.






