Tengku Putera Tengku Awang akan terus kekal sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu walaupun beliau tidak disenaraikan dalam barisan pentadbiran kerajaan dalam rombakan kabinet semalam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah tentu mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat keputusan mengenai rombakan kabinet itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang bekas Timbalan Menteri Kewangan Kedua itu dan juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu yang digugurkan daripada barisan pentadbiran kerajaan itu.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, walaupun Terengganu "kehilangan" jawatan seorang Timbalan Menteri dan "diganti" dengan pelantikan Ahli Parlimen Kemaman, Ahmad Shabery Cheek sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Luar, namun itu tidak menggambarkan kelemahan Terengganu.

"Kelantan mempunyai 1.6 juta penduduk tetapi memperoleh beberapa kerusi sahaja (dalam kabinet) tetapi Terengganu yang mempunyai penduduk sejuta orang telah mempunyai seorang menteri penuh, seorang timbalan menteri dan seorang setiausaha Parlimen, itu sudah dikira baik," katanya.

Rombakan exco

"Malah kita mempunyai enam orang anggota Dewan Negara dan jumlah itu dianggap ramai dan menjadi satu pengiktirafan kepada rakyat dan kerajaan negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu hari ini.

Terengganu kini mempunyai seorang menteri penuh iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin dan seorang timbalan menteri iaitu Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar.

Idris turut menyifatkan rombakan yang dilaksanakan Perdana Menteri semalam sebagai pembinaan satu pasukan kabinet yang kuat ke arah merealisasikan agenda yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9).

Sementara itu, ketika ditanya mengenai desas-desus kemungkinan beliau sendiri akan melakukan rombakan anggota exco kerajaan negeri yang heboh diperkatakan sebelum ini, Menteri Besar berkata, beliau belum mendapat ilham untuk berbuat demikian.

"Saya belum dapat ilham lagi... tengoklah Perdana Menteri, apabila beliau dah dapat ilham maka diumumkanlah... saya pun begitu," katanya.