Seorang tahanan militan Malaysia, yang didakwa dilatih Al-Qaeda untuk menerbangkan pesawat merempuh bangunan tertinggi di Los Angeles, masih merupakan satu ancaman, kata seorang bekas pegawai keselamatan.

"Dia masih menjadi satu ancaman. Dia perlu ditahan," kata bekas pegawai perisikan tersebut kepada AFP tetapi tidak mahu namanya disiarkan.

Beliau menegaskan demikian berikutan desakan kumpulan hak asasi manusia dan anggota keluarga supaya dibebaskan jurutera Zaini Zakaria yang dikatakan antara tiga orang yang didakwa dilatih oleh rangkaian Al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden untuk melakukan serangan tersebut.

Zaini ditahan pihak polis sejak Disember 2002 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan seseorang itu ditahan selama dua tahun dan disambung tempoh tahanannya tanpa had.

Bekas pegawai perisikan itu berkata, Zaini telah dihantar menjalani latihan di kem Al-Qaeda di Afghanistan pada 1999.

Di kem itulah, Zaini bertemu dengan pemimpin tertinggi rangkaian Al-Qaeda, termasuk Hambali, yang memimpin badan gabungan pergerakan itu Jemaah Islamiyah (JI).

Zaini kemudiannya pulang ke Malaysia dan memperolehi lesen juruterbang pesawat kecil dan dijadualkan menjalani latihan menerbangkan pesawat jet di Australia.

"Itu tidak menjadi kenyataan. Pihak berkuasa Malaysia berjaya menangkapnya pada 2002," kata bekas pegawai perisikan itu.

Katanya, beliau bimbang Zaini akan mempengaruhi orang lain jika dia dibebaskan.

Keluarga kecewa

Chang Lih Kang, jurucakap bagi kumpulan hak asasi manusia Suaram berkata kerajaan Malaysia patut membebas Zaini atau mendakwanya di mahkamah.

"Bagi kami, Zaini tidak bersalah. Bebaskannya atau dakwanya di mahkamah," katanya kepada AFP sambil menambah, keluarga Zaini kecewa dengan tuduhan keganasan terhadapnya.

"Keluarganya kecewa kerana Zaini dilabelkan sebagai seorang militan," katanya.

Tetapi Zaini telah memberitahu pegawai Malaysia yang dia telah menarik diri daripada menyertai rancangan Al-Qaeda itu selepas menyaksikan akibat serangan 11 September pada 2001.

Presiden Amerika, George W Bush dilaporkan berkata Khalid Sheikh Mohammed, yang disyaki perancang serangan 2001 itu, merancang merampas sebuah pesawat dan menerbangkannya merempuh bangunan tertinggi di LA Menara US Bank, yang juga dikenali sebagai Liberty Tower setinggi 310 mete (1,017 kaki).

Menurut Bush, rancangan itu tidak menggunakan perampas bangsa Arab, tetapi sebaliknya mahu menggunakan 'orang muda dari Asia Tenggara supaya tidak timbul sebarang syak."

Malaysia kini menahan 100 orang di bawah ISA di mana lebih 80 daripada mereka disyaki anggota militan Islam.

- AFP