Takiyuddin tak berhasrat hantar notis letak jawatan anggota PAC
Ahli Parlimen PAS Takiyuddin Hassan berkata beliau tidak berhasrat untuk menghantar notis peletakan jawatan sebagai anggota Jawankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Takiyuddin yang merupakan antara tiga wakil ahli parlimen pembangkang dalam jawatankuasa itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut maksud sebenarnya.
"Tidak, saya tidak berhasrat pun," katanya ringkas melalui pesanan Whatsapp hari ini ditanya sama ada beliau telah menghantar notis peletakan jawatan sebagai anggota PAC.
Anggota PAC dari kalangan ahli parlimen pembangkang dalam sidang media Isnin lalu berkata mereka akan meletakkan jawatan serta-merta dalam PAC jika Ronald Kiandee dikekalkan sebagai pengerusi.
Kiandee dilantik menjadi pengerusi PAC ketika masih merupakan ahli parlimen BN. Bagaimanapun, ahli parlimen Beluran itu sudah menyertai Bersatu, iaitu parti komponen PH.
Susulan itu, pembangkang mencadangkan agar Kiandee digantikan oleh ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad, yang juga merupakan ketua Wanita Umno.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Ismail Sabri hari ini berkata beliau tidak tahu sama ada notis rasmi berhubung peletakan jawatan itu sudah diserahkan atau belum.
Namun, katanya, ketidakhadiran mereka dalam prosiding PAC mengenai isu kontrak pelaksanaan Sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) semalam menunjukkan mereka telah meletakkan jawatan.
"Saya tak tahu, saya cuma buat keputusan dari segi letak jawatan tapi dari segi menghantar (notis) itu terserah.. Saya pun belum periksa, belum tanya lagi.
"Dalam mesyuarat baru ni mereka dah tak pergi. Semua wakil tidak menghadiri (mesyuarat), maknanya dari segi peletakan jawatan tu dah nampak tindakan.
"Tapi dari segi formaliti surat dan sebaginya itu saya tak tahu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh mengesahkan tiga anggota PAC dari pembangkang belum menyerahkan notis peletakan jawatan tersebut.
Ismail yang juga ahli parlimen Bera itu mengulangi pendiriannya bahawa ia akan berterusan selagi pengerusi PAC tidak digantikan dari kalangan ahli parlimen pembangkang.
Beberapa pemimpin PH termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim, Hannah Yeoh, Nurul Izzah Anwar dan Sim Tze Tzin turut menggesa agar PH berpegang pada janji manifesto dan menukar Kiandee.

