PAS: Tak wajar umat Islam kritik hukum hudud
Susulan pelaksanaan undang-undang syariah (hudud) di Brunei, PAS mengajak umat Islam agar tidak mengkritik keputusan kerajaan negara itu.
Anggota parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim berkata, masyarakat Islam antarabangsa khususnya Malaysia perlu menyokong usaha untuk melaksanakan hukum Allah itu.
"Kita mendoakan agar lima tahun tempoh persediaan yang dibuat akan menatijahkan perlaksanaan yang baik dan menjamin keadilan.
"Marilah kita bersikap dengan sikap muslim yang sebenar iaitu dengan wajib percaya akan keperluan dan keindahan pelaksanaan undang-undang syariah tersebut.
"Tidak sewajarnya kita orang Islam pula memberikan kritikan yang menghina undang-undang syariah ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, hukuman hudud melibatkan rejam sampai mati untuk zina dan seks sejenis di Brunei akan bermula 3 April iaitu Rabu depan, kata pihak berkuasa negara itu.
Hukuman itu hanya akan dikenakan kepada mereka yang beragama Islam, mengikut undang-undang syariah yang digubal empat tahun lalu tetapi ditangguh pelaksanaannya, menurut laporan agensi berita AFP.
Semalam, badan hak asasi Amnesty International menggesa negara itu "segera menghentikan" pelaksanaan hukuman baru itu dengan menyifatkannya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Sementara itu, Ahmad Amzad berkata pada 22 Oktober 2013, kerajaan Brunei mewartakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 (PKHJS 2013) untuk melaksanakan hukuman hudud dan qisas di negara itu.
Katanya, sejak Mei 2014, undang-undang itu dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan kesalahan-kesalahan ta’zir.

"Sebagai contoh, umat Islam yang melakukan kesalahan hamil luar nikah, tidak solat Jumaat dan mempromosikan kepercayaan lain selain Islam, boleh dikenakan denda atau penjara jika disabit bersalah.
"Dalam tempoh tersebut, peruntukan-peruntukan undang-undang yang sedia ada termasuk kanun keseksaan telah berjalan seperti biasa dan kes-kes itu dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Hal ini kerana kerja-kerja mengemaskini undang-undang berkaitan seperti tatacara jenayah, undang-undang keterangan dan lain-lain masih belum selesai," katanya.
Beliau turut memuji langkah berani Brunei yang konsisten dan tegas mahu melaksanakan undang-undang syariah meskipun mendapat tentangan yang kuat daripada pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa.






