Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan perbicaraan kes pengubahan wang haram SRC International Sdn Bhd terhadap bekas perdana menteri Najib Razak akan bermula 3 April ini.

Hakim Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas Mahkamah Persekutuan semalam mengenepikan arahan penangguhan oleh Mahkamah Rayuan minggu lalu.

Bagaimanapun tarikh-tarikh perbicaraan belum ditetapkan dan mahkamah akan memutuskannya selepas mengambil kira perbicaraan kes 1MDB terhadap Najib yang juga akan bermula pada bulan sama.

Pendengaran kes SRC International pada awalnya dijadual bermula 12 Feb, tetapi ditangguhkan sementara menunggu beberapa rayuan yang difailkan Najib.

Minggu lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan penangguhan pendengaran kes itu yang dibuat peguam bela Harvinderjit Singh.

Bagaimanapun panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan menolak keputusan itu dengan hujah Mahkamah Rayauuan tiada kuasa untuk memberikan arahan penangguhan.

Terdahulu hari ini, Harvinderjit dan timbalan pendakwa raya Suhaimi Ibrahim berbalas hujah berkenaan kesesuaian memulakan perbicaraan minggu depan.

"Ini (3 April) ditetapkan dalam pengurusan kes sebelum ini.

"Paling kurang, (kita boleh) bermula dengan seorang saksi pada hari itu, dan boleh sambung pada tarikh lain," kata Suhaimi.

Harvinderjit kemudian memberitahu mahkamah bahawa ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah ada perbicaraan pada tarikh tersebut, diikuti dengan rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan keesokannya, dan Shafee perlu hadir ke mahkamah untuk kesnya sendiri pada 5 April.

Beliau kemudian memaklumkan jadual pasukan pembelaan sudah penuh untuk minggu-minggu selepas itu, kerana perlu mengendalikan kes lain yang telah dijadual lebih awal, serta membuat persediaan untuk perbicaraan 1MDB yang dijadual pada 15 April hingga 3 Mei.

Harvinderjit berkata mereka hanya ada dua hari untuk bersedia dalam kes SRC International ini, dan justeru meminta mahkamah menetapkan tarikh lain.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Nazlan bertanya kepada peguam sama ada ia boleh dilakukan pada 1 April.

Suhaimi memberitahu bahawa tarikh itu tidak sesuai kerana mereka memerlukan masa untuk memanggil saksi, dan berkata pihak pendakwa bercadang membuat permohonan kepada ketua hakim negara memberi keutamaan kepada kes SRC International berbanding 1MDB.

"Kami sedang menimbang untuk menulis kepada ketua hakim negara agar kes ini dapat diutamakan berbanding 1MDB. Sekurang-kurangnya kes ini boleh diteruskan," katanya.

Pihak pendakwa dan pembelaan kemudian terus memberikan hujah mereka berkenaan tarikh yang sesuai, sbelum Nazlan memutuskan perbicaraan akan bermula pada pukul dua petang, Rabu ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS