Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Johor, Dr S Ramakrishnan berkata Kerajaan Johor telah bersetuju memperuntukkan sebidang tanah seluas 1.9 ekar kepada masyarakat India Johor Bahru sebagai tapak menjalankan upacara terakhir dan penghormatan.

Ramakrishnan berkata demikian selepas bekas menteri besar Johor Khaled Nordin sebelum ini mendakwa kerajaan negeri di bawah teraju PH meminggirkan golongan minoriti kerana menolak pembinaan projek itu yang sebelum ini sudah diberi peruntukan oleh kerajaan BN.

Ramakrishnan berkata kawasan sebelum ini dianggap tidak sesuai kerana hampir dengan pelabuhan Tanjung Langsat.

Ramakrishnan juga berkata Menteri Besar Osman Sapian pada Isnin lalu sudah mengunjungi lokasi baru berkeluasan 1.9 ekar itu.

“Pihak kami akan bekerjasama dan memberi sokongan penuh kepada Majlis Perbandaran Pasir Gudang untuk menguruskan semua aturan yang diperlukan bagi menjayakan penubuhan tempat upacara terakhir bagi masyarakat India di Johor,” kata Ramakrishnan.