Proton Holdings Bhd membuat pendedahan mencukupi berkaitan jualan 51 peratus pegangannya dalam MV Agusta bagi satu euro, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Yusli Mohamed Yusoff.

Proton membuat pendedahan lengkap seperti yang ditetapkan dalam syarat-syarat penyenaraian Bursa Malaysia, katanya dalam sidang akhbar untuk mengumumkan keputusan kewangan 2005 Bursa itu di Kuala Lumpur semalam.

"Mereka (Proton) tidak mencetuskan sebarang peruntukan yang memerlukan mereka mendapatkan kelulusan pemegang saham," katanya semasa diminta mengulas isu-isu berkaitan jualan pegangan Proton dalam MV Augusta.

Justeru, menurut laporan Bernama, Bursa Malaysia tidak memerlukan lebih banyak pendedahan buat masa ini, kata Yusli.

Baru-baru ini, penasihat Proton Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas ketua pegawai eksekutif Proton Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff meminta Proton membuat lebih banyak pendedahan berkaitan jualan itu.

Mereka juga mempersoalkan kewajaran Proton menjual kepentingannya dalam pengeluar motosikal Itali itu.