Bank terbesar negara ini, Malayan Banking Bhd (Maybank) menafikan laporan bahawa ia sedang berunding mengenai penggabungan dengan Southern Bank Bhd.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Amirsham A Aziz, berkata Maybank maklum sepenuhnya syarat-syarat berkanun mengenai keperluan mendapatkan kelulusan bertulis daripada Menteri Kewangan sebelum memulakan sebarang rundingan yang melibatkan pembelian atau penjualan sekurang-kurangnya lima peratus saham dalam sesebuah institusi kewangan yang diberikan lesen di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 (BAFIA).

"Dalam hubungan ini, kami ingin menegaskan bahawa pada masa ini kami tidak mengadakan rundingan dengan mana-mana institusi kewangan yang diberikan lesen di bawah BAFIA," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan kewangan kumpulan itu bagi suku kewangan kedua yang berakhir pada 31 Disember semalam.

Menurut satu laporan berita hari ini, SBB sedang mencuba untuk bergabung dengan Maybank dalam usahanya untuk menolak tawaran pengambilalihan daripada Kumpulan CIMB, sebuah unit Bumiputra-Commerce Holdings Bhd (BCHB).

BCHB membuat tawaran tersebut pada Isnin untuk membeli keseluruhan perniagaan dan perusahaan SBB secara tunai dan membuat tawaran am sukarela (VGO) bersyarat untuk membeli semua saham dan waran SBB yang belum dimilikinya melalui bayaran secara tunai dan dengan saham pinjaman tak bercagar boleh tukar belum tebus (RCULS) baru BCHB.

Menurut lapoan Bernama, semalam, Lembaga Pengarah SBB sebulat suara menolak tawaran itu dan berkata ia memberi nilai yang rendah kepada bank itu.

Kata putus

Sementara itu, Southern Bank Bhd (SBB) ingin mendapatkan kata putus dari Suruhanjaya Sekuriti berhubung Tawaran Pengambilalihan Sukarela Bersyarat daripada Bumiputra-Commerce Holdings Bhd

(BCHB).

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam, SBB berkata ia telah dinasihat oleh penasihat undang-undangnya yang tawaran itu tidak mematuhi Kod Pengambilalihan dan Penggabungan Malaysia 1998 (Kod).

SBB berkata ia juga telah merujuk kepada Seksyen 35 Kod berkenaan dan maklum yang penolakan SBB terhadap tawaran itu bukan merupakan tindakan yang dilarang di bawah seksyen itu.

Ia merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh BCHB semalam yang mengatakan penolakan tawaran oleh SBB itu mungkin sama dengan tindakan untuk menggagalkan Tawaran Pengambilalihan itu.

"Kami maklum yang BCHB tanpa dipaksa memilih untuk melaksanakan sebagai syarat kepada Tawaran Pengambilalihan itu yang kelulusan pemegang saham SBB diperlukan bagi Tawaran Perniagaan.

"Tiada terdapatnya syarat perundangan bagi pihak Lembaga SBB memenuhi syarat luar biasa seumpama itu," katanya