Malaysiakini BERITA

Husam disebut-sebut jadi pengerusi Kada

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pengerusi PH Kelantan, Senator Husam Musa dikatakan bakal dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Menurut sumber, watikah pelantikan itu sudah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Insya-Allah pengumuman mengenai pelantikan Husam sebagai orang nombor satu KADA itu akan diumumkan oleh menteri sendiri.

"Buat masa ini tak pasti bila (umum), insya-Allah dalam tempoh masa tidak lama lagi," katan sumber yang enggan namanya disiarkan kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, sudah menjadi amalan biasa pimpinan politik dari kalangan parti kerajaan persekutuan menerajui jawatan itu.

Sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, jawatan itu dipegang oleh Adun Kok Lanas, Md Alwi Che Ahmad daripada Umno.

Sementara itu, sumber berkata pelantikan Husam itu berkuat kuasa 1 Mac lalu bagi tempoh dua tahun sehingga 28 Februari 2021.

Katanya, pelantikan tersebut dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub mengikut Seksyen 5 (1)(a) Akta Lembaga Penubuhan Pertanian Kemubu 1972 (Akta 69).

Bagaimanapun, kesahihan mengenai perkara itu belum dapat disahkan secara rasmi dan Malaysiakini sedang mendapatkan respons lanjut daripada menteri.