Malaysiakini
BERITA

Pertandingan 4 penjuru di Rantau

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Mac 2019, 3:02 pagi

Pertembungan antara Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dengan calon PKR di Rantau Dr S Streram akhirnya berlaku juga.

Proses penamaan calon untuk pilihan raya semula itu berlangsung pagi ini.

Mohamad pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu menang tanpa bertanding selepas dihalang masuk ke pusat pencalonan.

Ikuti blog Malaysiakini sempena penamaan calon hari ini:

10.15pagi: Luar sekolah - Polis mengarahkan penyokong di luar sekolah berundur apabila kedua-dua penyokong PH dan BN mara sehingga berjarak hanya 100 meter antara satu sama lain.

Penyokong PH melaungkan “Reformasi” dan “Lawan tetap lawan”

Penyokong BN pula melaungkan “Hidup Tok Mat”, “Bangkit Tok Mat” dan “Hancur PH”.

Dan kedua-dua pihak menyanyikan lagu “Terima kasih abang polis”.  

10.10am: SKJ(C) Bandar Sri Sendayan – Rasmi, PRK Rantau akan menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Nama yang akan dicetak di kertas seperti berikut:

1) Tok Mat

2) R Malar

3) Mohd Nor Yasin

4) S Streram

10 pagi: SJKC Bandar Seri Sendayan - SPR mengumumkan bahawa waktu penerimaan kertas penamaan calon tamat pada jam 10 pagi.

Pengumuman itu dibuat wakil SPR di atas pentas di perkarangan sekolah.

Penyokong dan pemimpin masih menunggu pengumuman calon yang disahkan bertanding oleh SPR.  

9.40 pagi: Selain Mohamad Hasan dan S Streram, calon lain yang mengemukakan kertas pencalonan ialah seorang penganjur program kemasyarakatan, R Malar.

Malar yang menggambarkan dirinya sebagai "suri rumah", berkata dia berhasrat bertanding sebagai calon bebas. 

Wanita berusia 51 tahun itu berasal dari Port Dickson.

Seorang lagi calon bebas ialah Mohd Nor Yasin, yang dilihat bersiap sedia mengemukakan kertas pencalonannya.

Rabu lalu, seorang ahli PKR, Hazan Khalid turut merancang bertanding sebagai calon Bebas selepas tidak berpuas hati dengan parti itu.

Bagaimanapun, Hazan belum hadir di pusat penamaan calon dan tidak jelas sama ada ia akan muncul atau sebaliknya.

9 pagi - SJKC Bandar Seri Sendayan - Mohamad dikawal ketat dan diiringi oleh anggota Unit Amal PAS menuju ke pusat penamaan calon.

Ketika melalui pintu pagar, Mohamad berseloroh kepada seorang pegawai polis yang meminta untuk melihat pas SPR.

Mohamad berkata mahkamah memutuskan bahawa pas berkenaan tidak diperlukan dan sebab itu kemenangannya sebelum ini dibatalkan.

8.48 pagi: Jalan Persiaran Nusari- Rombongan PH mula berarak ke SJKC Bandar Seri Sendayan untuk menyerahkan borang penamaan calon.

Rombongan diketuai oleh calon, DR S Stream dan beberapa pemimpin PH – Wan Azizah Wan Ismail, Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin.

Mereka berjalan kira-kira 300 meter untuk ke sekolah.

Lebih awal pada 8.44 pagi, bacaan doa diadakan, diketuai oleh Dr Mujahid Yusof Rawa di atas lori sebelum perarakan bermula.

Rombongan yang menyertai kira-kira 500 penyokong.

8.40am: Jalan Persiaran Nusari - Mohamad Hasan tiba.

Lebih 1,000 penyokong BN hadir memberi sokongan.

Turut kelihatan Presiden MCA Wee Ka Siong,Timbalan Presiden MIC M Saravanan dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

8.30 pagi: Jalan Persiaran Nusari - Presiden Umno yang sedang bercuti Ahmad Zahid Hamidi membuat penampilan mengejutkan di Rantau.

Penyokong BN kelihatan mengambil kesempatan bergambar dan bersalam dengannya.

Tugas-tugasnya kini dijalankan oleh timbalannya Mohamad Hasan.

8.18 pagi: Jalan Persiaran Nusari - Saifuddin Nasution bersama calon PH Dr S Streram naik ke atas lori untuk berucap.

Katanya, mereka masih menunggu isyarat dari SPR untuk berarak ke tempat penamaan calon.

Kira-kira 300 penyokong berkumpul setakat ini.

Turut kelihatan Menteri dalam Negeri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan penyokong.  


8 pagi: Jalan Persiaran Nusari, tempat berkumpul PH - kira-kira 200 orang penyokong berkumpul setakat ini.

Saifuddin Nasution dan Saifudin Abdullah dilihat tiba bersama rombongan yang baru tiba.

Beberapa penyokong turut dilihat mengenakan perhiasan kepala Orang Asli.

7.43 pagi: Jalan Persiaran Nusari (tempat berkumpul BN)- Semakin ramai orang memenuhi tempat berkumpul BN.

Rata-ratanya mengenakan baju biru BN mengambil peluang bergambar sesama sendiri.

Calon BN, Mohamad Hassan belum kelihatan tiba di tempat berkumpul setakat ini.

7.24 pagi: depan SJKC Bandar Seri Sendayan - Penyokong rata-ratanya baru tiba dan mengambil peluang bersarapan dulu di lot bangunan sebelah bangunan sekolah.

Kawasan sekolah dikawal ketat oleh pihak polis.

Kelihatan puluhan polis keluar bagi mengawal jalan-jalan masuk ke sekolah. 

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.