Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Food Bank Malaysia legakan 46,000 isi rumah
Diterbitkan:  Mar 31, 2019 12:37 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Program Food Bank Malaysia yang merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat memanfaatkan 45,850 anggota isi rumah sehingga Februari lepas.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata program itu - yang juga bertujuan mengurangkan pembaziran - turut menyelamatkan 1,055 tan metrik lebihan makanan.

“Dalam melaksanakan inisiatif ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menghubungkan pihak industri melibatkan bukan saja pasar raya malah pengeluar produk makanan, restoran dan hotel dengan rakan strategik kementerian iaitu Mutiara Food Bank, Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen bagi membantu menyalurkan bantuan kepada golongan sasaran.

“Dengan adanya program Food Bank Malaysia ini, kita ingin memastikan tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang kelaparan," katanya pada majlis pelancaran program Food Bank Malaysia bagi parlimen Pandan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Mewah di Ampang hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga anggota parlimen Pandan berkata program Food Bank Malaysia di Pandan akan digerakkan rakan strategik utama iaitu Kechara Soup Kitchen dan mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Suara Anak Pandan.

Menurutnya, pertubuhan bukan kerajaan akan mengumpul bahan makanan dari pasar raya besar dan pasar raya yang terlibat sebelum diagihkan seminggu sekali kepada kumpulan sasaran di kawasan Pandan, dengan jumlah penerima yang didaftar ketika ini lebih 200 orang.

Antara pasar raya yang terlibat ialah Tesco, Econsave, The Store, NSK dan SEGI.

Sementara itu, timbalan perdana menteri berkata KPDNHEP melaksanakan projek perintis pertama bagi program itu di Pulau Pinang pada Ogos 2018.

Beliau berkata hasil kejayaan program perintis itu dijadikan penanda aras untuk dilaksanakan di beberapa negeri lain seperti Kelantan, Melaka, Johor, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 15 Feb 2019, Dr Wan Azizah berkata kerajaan memutuskan untuk meluaskan Program Food Bank Malaysia ke semua institusi pengajian tinggi untuk menangani kos sara hidup yang dihadapi mahasiswa.

Food Bank Malaysia diterajui KPDNHEP dilancarkan di Pulau Pinang pada 22 Dis lepas dengan menyasarkan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) termasuk pelajar universiti awam.

Menerusi program itu, lebihan makanan terutama dari pasar raya besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagih kepada mereka yang memerlukan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS