Terjemahan Sebuah akhbar baru berbahasa Inggeris dijangka diterbitkan di Sarawak awal Mac ini. Sumber-sumber yang mengetahui berkata tabloid setebal 40 halaman itu akan dikenali sebagai Eastern Times .

Kemunculannya adalah untuk mengisi kekosongan berikutan penggantungan akhbar Sarawak Tribune yang merupakan akhbar bahasa Inggeris tertua di negeri itu.

Menurut sumber-sumber, akhbar baru itu dijangka terbit bulan depan kerana pilihanraya negeri Sarawak mungkin diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Pilihanraya negeri itu diramal diadakan awal bulan Jun, walaupun tempoh kerajaan negeri sekarang hanya berakhir pada 16 November depan.

Sementara itu, difahamkan permit akhbar berbahasa Inggeri People's Mirror yang menghentikan penerbitannya beberapa tahun lalu telahpun diperbaharui di bawah nama baru.

Permit tersebut dikeluarkan kepada pemilik yang bukan dari kalangan pemilik Sarawak Press Sdn Bhd, penerbit akhbar Sarawak Tribune .

Ketika dihubungi, jurucakap bahagian Penerbitan dan Percetakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri berkata, permit People's Mirror dikendalikan oleh ibupejabatnya di Putrajaya.

Beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada permit penerbitan akhbar tersebut telah diperbaharui.

Pasukan editorial

Dipercayai sebahagian besar kakitangan editorial akhbar Eastern Times terdiri daripada bekas kakitangan akhbar Sarawak Tribune .

Seorang pakar perunding telah dilantik untuk melancarkan penerbitan akhbar berkenaan.

Akhbar Sarawak Tribune yang berusia 60 tahun itu, diarah digantung penerbitannya untuk tarikh yang tidak ditetapkan kerana menyiarkan karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad.

Ini bermakna, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Ketua Menteri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud kini kehilangan 'lidah rasminya' yang penting berikutan penggantungan akhbar berkenaan.

Keluarga Taib mempunyai kepentingan perniagaan dalam Sarawak Press Sdn Bhd, yang turut memiliki Utusan Sarawak sebuah akhbar berbahasa Melayu di Sarawak dengan pengedaran kira-kira 40,000 nashkah, sebahagian besarnya di kawasan pantai dan luar bandar.

Jumlah pengedaran beraudit Sarawak Tribune ialah 43,000, lebih tinggi daripada pesaingnya di Sarawak, Borneo Post . Berita asal