121 projek diteruskan, k'jaan jimat RM800 juta lepas runding harga
Sebanyak 121 projek infrastruktur bernilai RM13.9 bilion yang ditawarkan secara rundingan terus dan terhad oleh kerajaan BN sebelum ini akan diteruskan selepas rundingan semula harga oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan (MOF) berkata langkah itu akan memberi penjimatan kos sebanyak RM805.99 juta.
Ini katanya, tidak termasuk projek mega seperti projek LRT3 dengan kos RM31.65 bilion dan MRT2 dengan kos RM39.35 Bilion, yang kos masing-masing dikurangkan kepada RM16.63 bilion dan RM30.53 bilion.
Ia sekali gus menjimatkan kos keseluruhan sebanyak RM23.84 bilion untuk kedua-dua projek ini.
Menurut MOF, kementerian itu pada 29 Jun 2018 mengumumkan beberapa langkah awal untuk meningkatkan tadbir urus perolehan Kerajaan dan pengurusan kewangan negara.
"Antara langkah yang diperkenalkan adalah kajian semula projek-projek yang ditawarkan secara tender terhad dan rundingan terus yang diputuskan oleh Kerajaan terdahulu.
"Berdasarkan kajian semula tersebut, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan tender terbuka bagi projek-projek tender terhad dan rundingan terus yang belum dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST).
"Manakala, bagi 121 projek tender terhad dan rundingan terus yang telah dikeluarkan SST, perjanjian tambahan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya penghujung bulan Mac 2019 setelah harga dirunding semula sebagai usaha rasionalisasi kos projek tersebut sekali gus mengurangkan tekanan kepada kedudukan fiskalk kerajaan," ujarnya.
Menurutnya, projek berkenaan akan dikendalikan kementerian masing-masing dan tidak membabitkan Kementerian Kewangan lagi.
"Mengambil kira perkembangan semasa ini, MOF yakin bahawa pelaksanaan perolehan kerajaan secara tender terbuka pada masa akan datang akan memberi penjimatan kos dan nilai faedah terbaik kepada kerajaan dan rakyat," jelasnya.
Tambahnya, kaedah lama pemberian kontrak dikekalkan dan perbezaannya hanya tender terbuka dijalankan untuk menggantikan penganugerahan secara rundingan terus atau tender terhad melainkan ada faktor-faktor kecemasan, kepakaran tertentu yang diperlukan ataupun sebab-sebab khas.
"Contohnya, kaedah untuk tawaran kontrak kepada kontraktor Gred G1 (dahulunya dikenali sebagai Kontraktor Kelas F) masih sama, hanya ia dijalankan secara saingan terbuka di kalangan kontraktor Gred G1 dan bukan seperti dahulu, iaitu menerusi rundingan terus ataupun dengan keperluan mendapat tandatangan persetujuan daripada Ketua Bahagian parti politik.
"MOF akan sentiasa mengambil inisiatif yang komprehensif dalam memastikan pelaksanaan perolehan kerajaan selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT)," jelasnya.

