Isu Lynas: BN sasar pemimpin PH, Wong Tack mahu menteri diam
Pemimpin BN hari ini mengkritik pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini mengambil sikap membantah kilang nadir bumi, Lynas di Kuantan.
Ini selepas Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof dilaporkan berkata kilang nadir bumi itu boleh terus beroperasi di negara ini.
Bekas perdana menteri Najib Razak menerusi Facebooknya berkongsi video lama setiausaha agung DAP Lim Guan Eng mengenai kesan bencana radioaktif sisa nadir bumi berkenaan.
Najib turut mensasarkan Wong Tack, aktivis utama yang pernah menyuarakan bantahan terhadap kilang Lynas dan anggota parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
"Guan Eng dah tak takut "loji nuklear meletup dan membunuh semua rakyat tak kira Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban" lagi.
"Fuziah dah tak takut masak ikan bermata tiga. Wong Tack dah tak bersumpah mahu bakar kilang Lynas lagi. PH dah tak takut 'raykat' bertukar jadi mutant," tulisnya di Facebook.

Turut menyuarakan kritikan sama adalah Presiden MCA, Wee Ka Siong yang mempersoalkan pendirian Wong Tack berikutan kenyataan menteri itu.
"Wong Tack, tolong tunaikan janji. Jangan jadi orang yang cakap tak serupa bikin," katanya di platform media sosial.
Semalam, Redzuan dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata kerajaan akan membenarkan Lynas terus beroperasi bagi menarik pelabur asing.
'Bukan bawah bidang kuasa Redzuan'
Sehubungan itu, Wong Tack menggesa menteri berkenaan tidak mengulas isu yang bukan berada di bawah bidang kuasanya.
"Saya berharap Redzuan akan memberi tumpuan kepada perkara dalam ruang lingkup tanggungjawabnya dan tidak membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab bagi pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) dan kerajaan mengenai isu yang tidak berada dalam bidang kuasanya," kata anggota parlimen Bentong itu.
Wong Tack berkata Redzuan dilihat jahil dalam isu berkenaan dan mungkin terpengaruh dengan cerita yang 'diputarbelitkan'.
"Lynas ditolak kerana ketidakadilan dalam isu alam sekitar dan pencabulan undang-undang, peraturan dan prosedur negara, tidak ada kaitan dengan FDI," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Fuziah yang juga menteri di jabatan perdana menteri melahirkan rasa kecewa kerana terdapat ramai individu dalam kerajaan terpengaruh dengan naratif Lynas.
Baca: Fuziah kecewa ramai dalam kerajaan termakan cerita Lynas
Lynas sebelum ini menegaskan bahawa loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan mematuhi peraturan ketat oleh kerajaan.
Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) terletak dalam kawasan Parlimen Fuziah.
Kilang Lynas menghasilkan dua jenis sisa, iaitu Water Leached Purification (WLP) dan Neutralization Underflow Residue (NUF) - yang tidak mengandungi radioaktif tetapi membawa risiko pencemaran logam berat.
Setakat Disember tahun lalu, sisa WLP terkumpul di kilang Lynas adalah sebanyak 451,564 tan manakala NUF pula sebanyak 1.113 juta tan.

