Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Usir petani: Himpunan rayu Agong campur tangan

Satu perhimpunan aman diadakan hari ini bagi menyatakan sokongan kepada petani di Cameron Highlands yang berdepan pengusiran oleh kerajaan negeri Pahang.

Turut serta dalam himpunan itu ialah beberapa wakil rakyat DAP.

Kumpulan itu berkumpul di Gerai Makan Majlis Daerah Cameron Highlands dan berjalan kaki sejauh 500 meter menuju ke ladang dengan membawa sepanduk dan pelekat membantah pengusiran itu.

Mereka membawa bunga kuning sebagai simbolik kepada kesetiaan kepada Sultan Pahang yang kini merupakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah dan merayu baginda agar campur tangan.

Mereka yang hadir dalam perhimpunan itu ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy, Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy, Adun Sentosa Gunaraj R George dan Adun Sabai, Kamachee Dorai Rajoo.

Turut serta ialah calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil Cameron Highlands yang lepas, M Manogaran dan presiden Malaysian Tamilar Kural merangkap ahli majlis Perbandaran Seberang Perai, David Mashel.

Pada perhimpunan itu, Ramasamy membidas kerajaan negeri yang didakwa menghina petani yang telah mengusahakan tanaman mereka selama beberapa dekad.

Ramasamy juga menunjukkan salinan Lesen Menduduki Sementara (Tol) yang dikeluarkan kepada salah seorang petani pada tahun 1969.

Terdahulu, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menurut Pejabat Daerah Cameron Highlands, Tol yang dikeluarkan kepada petani berkenaan ialah pada 26 tahun lalu iaitu pada tahun 1993 dan bukannya 60 tahun seperti didakwa Ramasamy.

Ramasamy juga berkata beliau akan mempertahankan petani berkenaan walaupun isu itu tidak berlaku di Pulau Pinang.

"Saya akan bersuara untuk rakyat yang menghadapi ketidakadilan, tidak kira latar belakang geografi, perkauman, agama, politik mereka.

"Saya bukan orang luar, saya seorang rakyat Malaysia, dan saya akan bercakap untuk rakyat. Selain itu, isteri saya dari Cameron Highlands," katanya.

Tindakan itu merupakan respons kepada Wan Rosdy yang menggesa Ramasamy menumpulan isu pengusiran di Pulau Pinang dan tidak "campur tangan" dalam isu di Pahang.

Wan Rosdy berkata keputusan untuk mengusir petani itu dibuat kerana melanggar syarat Tol apabila mereka menggunakan bahan kimia terlarang dan mencemarkan sungai.

Bagaimanpun Ramasamy berkata "peneroka haram" bertanggungjawab terhadap perbuatan itu.

Sementara itu, Satees berkata alasan pencemaran air untuk mengusir mereka adalah "tidak masuk akal".

"Semua pekebun yang menghadapi pengusiran, adalah di sepanjang Sungai Ichat, yang bukan sumber air. Tambahan lagi, dakwaan bahawa petani mencemarkan sungai tidak disertakan dengan bukti," katanya.

Sebanyak 140 laporan polis dibuat terhadap Wan Rosdy bagi mendesak pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadapnya di bawah Seksyen 200 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan palsu.

David memberi jaminan bahawa Tamilar Kural akan mempertahankan pekebun berkenaan bukan kerana mereka berketurunan India atau Cina, tetapi kerana mereka adalah mangsa yang menghadapi penindasan.

Lihat Komen
ADS