Paling Popular
Terkini

PAS menyatakan pendirian tidak bersetuju berhubung cadangan supaya kes perbicaraan mahkamah melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak disiarkan secara langsung.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata proses perbicaraan itu sepatutnya berjalan sebagaimana biasa, iaitu secara tertutup.

"Bagi saya ia sepatutnya berjalan secara tertutup sebagaimana biasa . Yang penting keadilan kepada semua pihak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Najib menyuarakan sokongan agar perbicaraannya disiarkan secara langsung

Beliau berkata ia akan membantu perbicaraan dijalankan dengan telus dan mematuhi kedaulatan undang-undang.

"Saya akan menyokong siaran langsung... Rakyat mempunyai hak untuk tahu kebenaran," katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Kes pengubahan wang haram SRC International Sdn Bhd terhadap Najib dijadual bermula Rabu ini (3 April) selepas Mahkamah persekutuan mengenepikan arahan penangguhan oleh Mahkamah Rayuan sebelum itu.

Susulan itu, petisyen agar perbicaraan kes itu disiar secara langsung di change.org kembali mendapat perhatian apabila mengumpul lebih 30,000 tanda tangan.

Bagaimanapun Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh pada Nov lalu pernah menolak cadangan itu dan berkata ia tidak akan disiarkan secara langsung di RTM dan saluran Bernama.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berpendapat siaran langsung perbicaraan kes itu hanya akan mendedahkan perbicaraan kepada pelbagai ulasan, tohmahan dan spekulasi.

"Ia akan mengganggu prosiding mahkamah dan akan mendedahkan kepada pelbagai kesalahan perundangan," katanya yang juga anggota parlimen Kubang Kerian.

Lihat Komen
ADS