Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) proses permohonan taraf warganegara yang telah diguna pakai sebelum ini.

Menterinya, Muhyiddin Yassin berkata, semakan itu turut meliputi kes pengambilan anak angkat dan pemegang kad pengenalan merah.

Menurut Muhyiddin, tujuan utama semakan itu adalah bagi mempercepatkan proses permohonan supaya pihak berkepentingan tidak perlu menunggu terlalu lama.

“Saya telah mengarahkan supaya SOP itu diteliti tetapi laporannya masih belum diberikan dan selepas itu kita boleh duduk berbincang.

“Terdapat beberapa kawasan kelabu yang perlu dikenal pasti, jadi jika semua ini selesai kita harap proses permohonan dapat dipercepatkan dalam tempoh seminggu hingga dua minggu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman sebelum ini menegaskan bahawa status warganegara secara automatik hanya diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai ibu warganegara.

Susulan itu, penasihat Lawyers for Liberty (LFL) N Surendran menyifatkan pendekatan KDN berhubung masalah kanak-kanak tanpa kewarganegaraan ketika itu tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Jelas Surendran, selagi salah seorang ibu atau bapa kanak-kanak itu warganegara, dia secara automatik adalah rakyat Malaysia.

Surendran juga mendakwa PH hanya menggunakan pendekatan sama yang digunakan rejim BN sebelum ini, yang menyebabkan ramai kanak-kanak tidak mempunyai kerakyatan dalam Malaysia.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata semakan itu perlu dilakukan sejajar dengan manifesto pilihan raya umum (PRU) ke 14 lalu iaitu pemegang kad pengenalan merah dan berstatus pemastautin tetap yang berusia 60 tahun ke atas akan diberi taraf warganegara.

Katanya, semakan itu juga dibuat ekoran desakan beberapa Anggota Parlimen termasuk rakan-rakan dalam kabinet yang mahu disegerakan.

Tambah Muhyiddin, semakan itu bagaimanapun harus tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan kerana terdapat undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Saya harap apabila SOP ini selesai, kita dapat mengurangkan kerenah birokrasi. Sengaja mahu melambatkan, bukan tujuan kita. Jika anda berhak mendapat warganegara, anda perlu mendapatkannya,” katanya.