Volkswagen runding dengan bakal rakan niaga di Malaysia
Volkswagen AG akan menghantar satu pasukan ke Malaysia minggu depan bagi memulakan perundingan awal dengan dua atau tiga bakal rakan niaga bagi pemasangan tempatan jenama Jerman itu.
Volkswagen AG akan menghantar satu pasukan ke Malaysia minggu depan bagi memulakan perundingan awal dengan dua atau tiga bakal rakan niaga bagi pemasangan tempatan jenama Jerman itu.
Pengarah Eksekutif Jualan Antarabangsanya, Kevin Rose hari ini berkata perundingan itu ialah untuk menilai rakan-rakan niaga ini ekoran kegagalan perundingan yang serupa dengan Proton baru-baru ini.
Pembuat kereta keempat terbesar dunia itu telah menarik diri daripada cadangan pemasangan dengan Proton kerana pengeluar kereta nasional itu enggan memberikan kuasa pengurusan atau menjual kepentingan majoriti kepada Volkswagen.
"Kami tidak boleh tunggu. Kami kena bergerak secepat yang boleh. Sebahagaian daripada kriteria pilihan yang kami guna pakai ialah secepat manakah kami boleh laksanakannya dengan bakal rakan kongsi itu," katanya.
Dalam persidangan akhbar selepas perasmian Ibupejabat Kumpulan Volkswagen Malaysia di Kuala Lumpur, beliau berkata, rancangan sebelumnya ialah untuk menghasilkan Volkswagen di dalam negara menjelang tahun 2008, tetapi kini ia belum pasti lagi.
"Tetapi itu lebih ideal ... ia akan berikan kami masa 18 bulan hingga dua tahun untuk membina jenama dan rangkaian, sedia untuk pengeluaran tempatan dan harap-harap dengan jumlah yang lebih tinggi," katanya.
Menurut laporan Bernama, ibupejabat baru itu telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Perbincangan bermula
Ditanya mengenai rancangan baru Volkswagen berhubung kerjasama terhad dengan Proton yang melibatkan projek-projek khusus, Rose berkata, perbincangan telahpun bermula.
"Kemungkinan terdapatnya kerjasama dalam dua atau tiga model untuk Proton di pasaran Malaysia. Ini ialah untuk memberikan mereka akses kepada beberapa model kereta yang tidak ada dalam portfolio pada masa ini," tambahnya.
Awal bulan ini, Pengarah Urusan Proton Syed Zainal Abidin Mohd Tahir berkata kedua-dua syarikat itu akan berbincang berhubung model-model khusus untuk pemasangan di Malaysia.
Menjawab satu soalan, pengarah urusan Volkswagen Group Malaysia Sdn Bhd, Axel Barth menegaskan butiran lanjut mengenai bakal rakan niaga itu tidak boleh didedahkan kerana pihak yang terbabit melibatkan syarikat-syarikat yang tersenarai.
Tetapi Barth memberitahu, sejumlah 9.5 juta euro (1 euro=RM4.4220) telahpun dilaburkan untuk menubuhkan Volkswagen Group Malaysia.
Volkswagen Group Malaysia bertanggungjawab untuk jualan dan pemasaran jenama Jerman di dalam negara. Ia bercadang untuk memperkenalkan tidak kurang lapan model baru dalam tempoh setahun.
Sambil mengulangi komitmen Volkswagen untuk menjadikan Malaysia hab serantau untuk Asean, Rose berkata ia adalah seiring dengan sasaran syarikat untuk menjual empat juta kereta seluruh dunia dalam tempoh beberapa tahun akan datang dari 3.3 juta unit tahun ini.
"Satu cara yang boleh memenuhi cita-cita kami ialah menerusi gabungan beberapa pertumbuhan di Amerika Selatan dan rantau Asia Pasifik, Afrika dan Timur Tengah," kata beliau.

