Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tok Mat: Penduduk kampung minta saya tak perlu turun kempen

PRK RANTAU | Timbalan Presiden Umno yang juga calon pilihan raya kecil (PRK) Rantau berkata beliau diminta penduduk kampung di Rantau agar tak perlu berkempen untuk mendapatkan sokongan mereka.

"Semalam, saya ada di Taman Sejati Kuala Sawah.

"Bila saya jumpa mereka (penduduk), mereka kata 'Datuk, tak payah datang jumpa kami'.

"Mereka rasa bersalah saya jumpa mereka (untuk berkempen)," kata Mohamad dalam sidang media di Rantau hari ini.

Untuk rekod, Mohamad menyandang kerusi Rantau sejak 2004.

Mohamad atau yang dikenali sebagai Tok Mat juga berkata beliau dimaklumkan perkara sama ketika berkempen di Taman Bunga Raya yang terletak dalam pusat daerah mengundi Kampung Siliau.

Bagaimanapun, Mohamad menambah bahawa beliau tidak akan mengambil mudah kerana pengundi boleh berubah fikiran.

Menurut maklumat dari parlimen bagi pilihan raya umum (PRU) ke-14, PH memenangi 56.5 peratus undi di Kuala Sawah, sementara BN memperoleh 39 peratus undi. Ketika itu, 42 peratus pengundi Kuala Sawah adalah Melayu.

Sentimen dalam kalangan pengundi Melayu dilihat berubah sejak PRU ke-14 yang menyaksikan PH kalah dalam dua PRK berturut-turut.

Dalam ceramah di kawasan BN semalam, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat gagal menarik khalayak yang ramai dari kalangan penduduk untuk hadir mendengar ucapannya.

Sementara itu, Mohamad berkata beliau ada mendengar PH menyifatkan PRK Rantau sebagai "ibu segala PRK", kerana ia memberi isyarat penting dalam meredakan momentum BN.

Mohamad juga berkata beliau tidak banyak berbelanja dalam kempennya untuk membeli bendera dan poster.

"Saya buat persiapan pada PRU ke-14, tapi tiada pertandingan.

"Jadi saya simpan (semua bahan kempen) dan kini saya keluarkan semula," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS