BERITA Malaysiakini

K’jaan minta lanjutan 6 bulan projek Sistem Transit Rapid

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PARLIMEN l Kerajaan telah meminta tempoh lanjutan selama enam bulan daripada kerajaan Singapura sebelum membuat sebarang keputusan berhubung projek Sistem Transit Rapid (RTS), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata tempoh lanjutan sehingga September itu bagi membolehkan kerajaan meneliti beberapa perkara termasuk kos pelaksanaan projek tersebut.

“Kita telah meminta tempoh lanjutan dari kerajaan Singapura bagi kita mengkaji pilihan yang ada. Tentu sekali kita melihat kepada kos projek dan bagaimana kita boleh mengurangkan lagi (kos) dan bagaimana kita memanfaatkan projek ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu mengenai projek berkenaan.

Projek tersebut yang menghubungkan jajaran Bukit Chagar, Johor ke Woodlands, Singapura dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.

Sementara itu, Loke berkata satu pertemuan akan diadakan bersama pengusaha perkhidmatan e-hailing berhubung peraturan baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensyaratkan permohonan permit perkhidmatan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing).

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha terbabit minggu ini. Kita akan bertemu dengan mereka, ada antara mereka saya difahamkan sudah mendapatkan lesen (PSV-Teksi/E-hailing) masing-masing,” katanya.

- Bernama