Hubungan cinta yang terjalin selama lima bulan lalu hancur berkecai dalam hanya beberapa saat bila sang lelaki menghayun topi keledar di kepala kekasihnya akibat dituduh mengadakan hubungan sulit dengan wanita lain.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awan berkata musibah itu berlaku selepas pasangan itu bertengkar dalam kejadian di Persiaran Bayan Indah, di Georgetown tengah malam tadi.

Pasangan wanita itu maut disyaki dipukul kekasihnya, seorang nelayan, dengan topi keledar di bahagian kepala, akibat berang dituduh curang.

Che Zaimani berkata mangsa, K Surinder Kaur Bedi, 37, yang merupakan seorang tukang masak di sebuah hotel di Georgetown disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.00 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang ekoran kecederaan parah di kepala.

“Polis telah menahan teman lelaki mangsa yang berumur 55 tahun untuk siasatan lanjut kes ini yang dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Suspek juga didapati mempunyai tujuh rekod tangkapan lampau berkaitan dadah,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang menyaksikan kejadian itu berjaya menghalang suspek yang dipercayai mabuk ketika itu daripada terus memukul mangsa. Mereka menghantar mangsa ke hospital.

Pasangan itu baru saja menjalin hubungan lima bulan lalu, walaupun mereka sudah mengenali satu sama lain sejak 15 tahun lepas, kata Che Zaimani.

- Bernama