Terjemahan Apakah wujud agenda tersembunyi di sebalik liputan media mengenai dakwaan bahawa seorang rakyat Malaysia terbabit dalam plot untuk menerbangkan pesawat merempuh bangunan tertinggi di Los Angeles?

Persoalan ini dibangkitkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Presiden Amerika Syarikat, Presiden George W Bush mendedahkan plot tersebut dalam ucapannya awal minggu ini.

Rakyat Malaysia yang didakwa terbabit dalam plot tersebut ialah seorang jurutera berusia 38 tahun, Zaini Zakaria,. Dia telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak tahun 2000 kerana didakwa terbabit dalam Jemaah Islamiah (JI).

JI dikatakan ada kaitan dengan rangkaian al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden, yang dituduh bertanggungjawab melancarkan serangan 11 September.

"Pendedahan plot seumpama itu bukan sahaja melanggar hak asasi Zaini dan keluarganya, tetapi juga membahayakan tahanan ISA yang lain (yang dikaitkan dengan kegiatan keganasan)," kata Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh (foto).

"Terdapat 36 tahanan yang perintah tahanan kedua ke atas mereka (empat tahun) akan tamat tahun ini. Adalah liputan (media mengenai) pendedahan konspirasi itu untuk menghalalkan tahanan selanjutkan ke atas mereka?" soalnya.

Menurut laporan, Zaini adalah antara tiga orang yang dilatih oleh al-Qaeda untuk melancarkan serangan tersebut, tetapi ianya tidak menjadi kenyataan.

Zaini dikatakan telah memberitahu pegawai Malaysia kemudiannya yang dia menarik diri selepas menyaksikan serangan 11 September itu.

Tiada bukti

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, ISA merupakan alat yang digunakan untuk menahan mereka yang disyaki kerana pihak berkuasa tidak mempunyai sebarang bukti.

"Oleh itu, bukti dan plot boleh direka-reka," tegasnya.

Menurutnya, ucapan Bush itu merupakan satu percubaan untuk mengalih perhatian daripada isu layanan tidak berperikemanusiaan Amerika terhadap tahanan di Teluk Guantanamo dan penjara Abu Ghraib.

Bagaimanapun, katanya, GMI tidak merancang untuk menyerahkan nota bantahan kepada Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur tetapi menyuarakan harapan agar kerajaan Malaysia akan menangani kebimbangan itu.

Beliau juga mengulangi gesaan GMI supaya tahanan ISA dibebaskan atau mendakwa mereka di mahkamah.

Semak fakta

Hadir sama di sidang akbar tersebut ialah peguam Zaini,'Amer Hamzah Arshad.

Katanya, kenyataan Bush boleh dipersoalkan kerana rekod prestasinya, merujuk kepada dakwaan presiden itu yang Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran.

"Adakah kita begitu mudah untuk mempercayai apa yang dikatakan oleh Bush? Apakah kita mesti menerimanya tanpa mempersoalkan motifnya? Tuduhan itu tiada berasas dan adalah salah untuk kita menerimanya begitu sahaja," tambahnya.

Seorang peguam turut hadir, Latheefa Koya, menggesa pihak media supaya lebih berhati-hati dalam melaporkan isu tersebut dan merayu supaya mereka memberi liputan yang seimbang. Berita asal