Paling Popular
Terkini
story images
story images

PRK RANTAU | Dalam usaha meraih sokongan pengundi, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution membuat perbandingan antara Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dengan bekas menteri besar yang juga calon BN Mohamad Hasan.

"Apa beza Mat Hasan dengan Menteri Besar Aminuddin Harun? Orang selalu banding dari segi ketokohan tapi ada satu yang kurang dilihat tetapi paling mudah (untuk membuat penilaian).

"Aminuddin sebelum PRU ke-14 isytihar harta dengan Invoke Malaysia dengan (membuat) perakuan bersumpah. Sampai hari ini kita boleh membacanya di internet.

"Siapa tahu harta Mat Hasan pula banyak mana?" katanya kepada lebih 200 hadirin dalam program ceramah di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) di Bandar Ekar, Rantau, malam tadi.

Selain itu, semua Exco Negeri Sembilan juga telah membuat pengisytiharan harta kepada kerajaan negeri pada 18 Julai lalu.

Saifuddin berkata itulah perubahan yang dilakukan PH hari ini untuk membawa politik yang lebih telus dan berintegriti.

"Perlu tunjuk harta kita sebelum dan selepas dipilih tiada beza. Kalau ada peningkatan aset pun melalui cara yang sah," katanya lagi.

Antara yang turut hadir dalam program itu adalah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Raja Bahrin Shah, Ahli Parlimen Lumut Hatta Ramli dan Exco Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon.

Halang hatrik BN

Saifuddin juga berharap pengundi di Rantau dapat menghalang BN daripada mencapai kemenangan dalam PRK ketiga di Rantau, selepas dua PRK terakhir iaitu Cameron Highlands dan Semenyih.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengulas kenyataan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang mahu PRK Rantau menjadi kemenangan hatrik buat BN.

"Dia kata menang di Cameron Highlands dan Semenyih, dan di Rantau nak jaringkan hatrik. Dia kira yang dia menang saja. PH menang di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

"Jadi pengundi Rantau perlu halang BN daripada mendapat kemenangan hatrik," katanya.

Selain Mohamad Hasan dan calon PH S Streram, PRK Rantau turut ditandingi dua calon Bebas iaitu Mohd Nor Yasin dan R Malar.

SPR menetapkan 9 April sebagai hari pengundian awal dan 13 April untuk hari mengundi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS