Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa kamu takutkan Najib, soal MP DAP
Diterbitkan:  Apr 2, 2019 9:28 AM
Dikemaskini: 1:28 AM

Anggota Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak membuat pusingan-U berhubung perbicaraan rasuah yang dihadapinya.

Beliau berkata Najib menggesa perbicaraan itu diadakan secara langsung di kaca televisyen meskipun berulang kali berusaha untuk mengelak daripada dibicarakan.

"Pada masa itu, Najib kelihatan menunjukkan keberanian, keyakinan dan keinginannya untuk menghadapi perbicaraan SRC yang akan datang dan ia akan membuktikan dia tidak bersalah.

"Pastinya ramai kagum dengan sikap untuk 'tidak menyembunyikan apa-apa' pada masa itu.

"Namun, dalam masa kurang 24 jam, tindakan Najib mendedahkan wajahnya yang sebenar. Peguamnya Harvinderjit Singh memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah memohon untuk semakan kehakiman keputusan Mahkamah Persekutuan agar tidak membenarkan kes SRC ditangguhkan.

"Pusingan U besar oleh Najib itu pastinya tidak sejajar dengan apa yang diharapkan dari seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai 'Bossku' akhir-akhir ini. Sekarang adalah masa rakyat tanya Najib: Apa yang kamu takutkan?" kata Wong dalam satu kenyataan malam tadi.

Wong berkata Najib sepatutnya menerima keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai peluang untuk mempercepatkan kes SRC dan membuktikan melalui proses undang-undang bahawa beliau tidak bersalah.

Pada 27 Mac, panel tujuh hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Richard Malanjum berkata Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan perbicaraan kes itu ditangguhkan.

Justeru, mahkamah memutuskan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan menghantar kes itu semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

Perbicaraan mengenai tuduhan berkaitan SRC International Sdn Bhd itu akan menjadi yang pertama dalam beberapa pebicaraan rasuah terhadap Najib - dijangka bermula esok.

Bagaimanapun, Bernama melaporkan Najib memohon semakan kehakiman keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, tetapi tiada tarikh yang ditetapkan untuk pengurusan kes.

Lihat Komen
ADS