Kerajaan Negeri Selangor hari ini digesa mempercepatkan kerja membina pusat memampatkan sampah bagi membolehkan pemindahan pusat pelupusan sampah di Air Hitam, Puchong dijalankan seperti yang dirancang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting berkata ini kerana pusat pelupusan sampah yang baru di Bukit Tagar, Ulu Selangor yang akan menggantikan pusat pelupusan sampah Air Hitam telahpun siap.

Beliau berkata segala-galanya kini menunggu kerajaan Selangor menyiapkan pembinaan pusat memampatkan sampah itu sebelum pemindahan pusat pelupusan sampah Air Hitam yang telah mencapai keupayaan maksimum dapat dipindahkan ke Bukit Tagar.

"Keutamaan kerajaan ialah agar pusat pelupusan sampah terletak jauh dari kawasan yang mempunyai ramai penduduk," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Persefahaman Pusat Teknologi Maklumat MCA dengan Universiti Tunku Abdul Rahman di sini.

Menurut laporan Bernama, Ong yang juga Presiden MCA berkata kawasan sekeliling pusat pelupusan sampah Air Hitam telah berkembang menjadi kawasan perumahan dan sekiranya ia tidak ditutup akan menjejaskan kesihatan penduduk sekitar.

Beliau berkata tapak pelupusan sampah Bukit Tagar yang menelan belanja RM17 juta itu terletak 50 km dari bandaraya mempunyai kawasan seluas 260 hektar dan mempunyai kapasiti untuk menampung 120 juta tan sampah iaitu bagi keperluan Lembah Klang selama 40 tahun lagi.