Osman Sapian MB boneka - Umno Johor
Pemuda Umno Johor menyifatkan Menteri Besar Osman Sapian sebagai "boneka" apabila tidak mengetahui projek membabitkan Putrajaya dengan pelaburan antarabangsa iaitu, KA Petra Sdn Bhd dan Hutchison Port Holdings Limited, Hong Kong.
Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah, berkata usahasama itu tidak berada dalam pengetahuan menteri besar serta exco pelaburan Johor yang mengadakan lawatan kilang perabot di Zhejiang, China.
"Usahasama yang dijalankan ini tidak berada dalam pengetahuan kerajaan negeri Johor. Kehadiran perdana menteri, menteri kewangan, menteri pengangkutan dan menteri perdagangan dalam negeri menambahkan tanda tanya kepada rakyat.
"Apakah usahasama dijalankan ini ada udang di sebalik batu? Sehingga kenyataan ini dilakukan (dikeluarkan) perjanjian sudah dimeterai dalam majlis berlangsung pagi tadi, namun kerajaan negeri pimpinan Datuk Osman terus mendiamkan diri.
“Apakah beliau berselindung di sebalik usahasama ini dijalankan?
"Atau menteri besar sehingga ke jam ini sedang sibuk membaca Perjanjian Persekutuan dan undang-undang yang ada.
"Apakah kerajaan negeri terlibat melakukan sesuatu tanpa pengetahuan ahli majlis mesyuarat kerajaan Johor? Sesuatu yang pelik tapi benar-benar berlaku," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui lama sosial Facebooknya berkongsi artikel yang berjudul "Kroni Putrajaya 'bulldoze' bidang kuasa kerajaan negeri" pada 31 Mac lalu.
Ia dikongsi dari Facebook Gerakan Muafakat Johor.
Artikel yang memetik sumber itu mendedahkan hari ini bakal berlangsung menandatangan perjanjian pelaburan antara KA Petra Sdn Bhd dan Hutchison Port Holdings Limited, Hong Kong.
Sementara itu, Mohd Hairi berkata Tunku Mahkota Johor mengkritik tindakan Putrajaya apabila bersetuju mengadakan itu yang dipercayai bertujuan menjalankan usahasama membangunkan hab pemindahan kapal terbesar di dunia itu dalam perairan pelabuhan Johor Bahru.
Oleh itu kata Mohd Hairi, menteri besar perlu memberikan penjelasan terhadap tentang perkara itu dan rakyat Johor katanya tidak akan sesekali berkompromi terhadap kerajaan yang gagal itu.
"Kedaulatan dan hak istimewa Johor juga perlu dipelihara dan dijaga. Jangan orang lain yang mencorak negeri kita tanpa pengetahuan kita. Ia memalukan," tegas beliau.

