Proses permit import pertanian hanya 3 minit lepas ini
Permohonan permit untuk urusan import dan eskport produk pertanian dan agromakanan boleh dilakukan sepantas tiga minit melalui sistem dalam talian, iMaqis.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata sistem baharu itu akan menjimatkan masa petugas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) apabila mereka tidak perlu lagi menggunakan kertas dan tunai kerana semua urusan dilaksanakan dalam talian.
Beliau berkata iMaqis akan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun ini dan melaluinya juga dapat melakukan penjimatan sebanyak RM350,000 setahun.
"Sistem baharu ini menjadi nilai tambah kepada operasi di pintu masuk Maqis di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan dari aspek kecekapan kerja memproses dan kemudahan kepada pengimport dan pengeksport," katanya kepada pemberita selepas melancarkan iMaqis itu di sini hari ini.
Menurutnya, iMaqis dengan enam modul keseluruhan sudah mula digunakan secara berperingkat sejak November 2018.
Sim berkata antara ciri iMaqis adalah penggunaan 'QR code' pada permit Maqis yang akan membolehkan pegawai penguatkuasa Maqis menyemak maklumat dagangan dengan cepat dan mengelakkan pemalsuan permit sebagai satu ciri keselamatan.
Pada tahun lepas (2018), katanya Maqis memproses 554,461 permit import dan eksport dengan kuantiti 37 juta tan metrik dengan nilai dagangan mencecah RM133 bilion.
- Bernama

