Terowong Pulau Pinang: Ahli perniagaan didakwa esok
Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri bakal didakwa esok berkaitan siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara terhadap ahli perniagaan tersebut.
Lelaki berumur 38 tahun itu akan berdepan dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor esok.
Menurut sumber, lelaki berkenaan ditahan SPRM pada Februari tahun lepas (2018) selepas dipercayai menerima wang berjumlah RM19 juta daripada syarikat pembinaan projek terbabit selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.
Menurut sumber itu lagi, pihak syarikat berkenaan membayar wang berjumlah RM19 juta itu secara berperingkat sekitar Julai dan Ogos 2017, dengan kesemua pembayaran dilakukan di sekitar Lembah Klang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan pendakwaan berkaitan kes berkenaan ketika dihubungi hari ini.
- Bernama






