Kira-kira 3,000 orang menghadiri perhimpunan aman di pekarangan Pejabat PAS di Kota Bharu hari ini bagi membantah tindakan akhbar Denmark Jyllands Posten menyiarkan karikatur Nabi Muhammad S.A.W.

Perhimpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Kelantan itu disertai Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Salahuddin Ayub.

Perhimpunan itu dimulakan sebaik sahaja Nik Abdul Aziz selesai menyampaikan kuliah mingguannya, yang turut menyaksikan pembakaran patung Presiden Amerika Syarikat George W.Bush.

Menurut Bernama, pelbagai sepanduk dikibarkan dalam perhimpunan itu yang antara lain mengutuk tindakan penyiaran karikatur itu dan menggesa umat Islam memboikot barangan buatan Denmark.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Zaki Ibrahim berkata perhimpunan aman itu bertujuan memberi kesedaran kepada umat Islam di negeri ini supaya menentang mana-mana pihak yang cuba menghina agama Islam.

"Pemuda PAS Kelantan menyokong keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggantung permit akhbar Sarawak Tribune pada 9 Februari lalu, kerana menyiarkan semula karikatur itu dan kami berpendapat kebebasan akhbar juga ada batasannya", katanya kepada pemberita selepas perhimpunan itu.