Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mencadangkan agar pasukan petugas ditubuhkan untuk menyiasat semula kes kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.

Ini selepas suruhanjaya itu menerusi inkuiri yang dijalankan membuat kesimpulan bahawa anggota polis Cawangan Khas (SB) terlibat dalam kehilangan dua individu berkenaan.

Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai berkata, ini disebabkan oleh kelemahan siasatan polis dalam kedua-dua kes berkenaan.

"Keluarga memerlukan jawapan dan ia hanya boleh dijawab oleh negara.

"Adalah dipercayai mereka yang bertanggungjawab setakat ini menahan diri daripada menjawab soalan-soalan ini, atau enggan mengambil langkah untuk mencarinya.

"Oleh itu, pasukan petugas baru dan berasingan perlu ditubuhkan untuk menyiasat semula kehilangan Amri Che Mat," katanya yang menambah hal sama perlu dilakukan terhadap kes kehilangan Koh.

Beliau seterusnya mencadangkan agar pasukan petugas yang terdiri daripada penyiasat bebas dilantik oleh Peguam Negara, Tommy Thomas.

Senarai kriteria yang dicadangkan termasuk mempunyai kaitan dengan siasatan jenayah dalam kes kehilangan itu; tiada hubungan dengan mana-mana anggota Cawangan Khas pada masa ini atau masa lalu; dan tiada kaitan dengan pihak berkuasa agama Perlis.

Pasukan petugas itu juga perlu mengemas kini perkembangan siasatan kepada keluarga dan Suhakam dan kemudian memaklumkan kepada orang ramai.

Keputusan inkuiri hari ini menamatkan inkuiri Suhakam dalam kedua-dua kes.

Mah, bersama Aishah Bidin dan Nik Salida Suhaila Salleh, sebelum ini telah mempengerusikan inkuiri berkenaan.